100 individu di Nigeria terdedah kepada pesakit Covid-19

Nigeria merupakan negara paling padat penduduk di Afrika. (Gambar AP)

LAGOS: Pihak berkuasa Nigeria berkata kira-kira 100 individu mungkin terdedah kepada lelaki Itali yang merupakan pesakit Covid-19 pertama di negara itu, menurut pegawai negeri Lagos pada Ahad, dalam usaha menghentikan wabak itu di negara yang paling ramai penduduk di Afrika.

Kes itu, yang pertama di sub-Sahara Afrika, menimbulkan kebimbangan virus itu boleh tersebar dengan cepat di Lagos, ibu kota komersial dengan kira-kira 200 juta penduduk.

Pakar kesihatan bimbang mengenai wabak tersebut di rantau itu di mana sistem kesihatan sudah dibebani dengan kes malaria, campak, Ebola dan penyakit berjangkit lain.

Lelaki Itali itu tiba di Lagos pada 24 Feb dari Milan melalui penerbangan Turkish Airlines. Pada keesokan harinya, dia pergi ke negeri Ogun dan berada di negeri itu selama hampir 2 hari sebelum diasingkan.

Ditanya dalam satu wawancara telefon berhubung jumlah individu yang pihak berkuasa Nigeria kesan mungkin mempunyai kontak dengan lelaki terbabit, Pesuruhjaya Kesihatan Lagos, Akin Abayomi berkata: “Ia adalah sekitar 100 individu tetapi angka itu meningkat setiap minit.”

Pesakit itu bekerja sebagai vendor untuk syarikat simen Lafarge Africa Plc di negeri barat daya Ogun.

“Jumlah itu akan meningkat sepanjang masa kerana kami menemui mereka yang berada dalam penerbangan. Kami menemui mereka yang dalam perjalanan ke Ogun, mempunyai kontak dengannya di kilang dan orang ramai di hotel,” kata Abayomi.

Menteri Kesihatan Osagie Ehanire, yang bercakap menerusi TV Nigeria, berkata lelaki tersebut bertindak balas terhadap rawatan dan nampaknya “semakin pulih”.