11 lagi maut di Iran akibat Covid-19

Penduduk Iran memakai topeng muka ketika keluar ke tempat awam. (Gambar AP)

TEHRAN: Covid-19 mengorbankan 11 lagi nyawa di Iran, menjadikan jumlah keseluruhaan kes kepada 54, menurut angka rasmi yang dikeluarkan pada Ahad yang menunjukkan virus itu tersebar dengan lebih cepat.

“Sebelas orang kehilangan nyawa” dalam 24 jam yang lalu, kata jurucakap Kementerian Kesihatan Kianoush Jahanpour, sambil menambah ujian di seluruh negara menunjukkan terdapat 385 kes baru.

Ia adalah jumlah tertinggi kes baru untuk 3 hari berturut-turut di negara itu, yang kini mempunyai 978 kes yang disahkan.

“Mujurlah, selain berita tidak begitu baik yang kami dengar hari ini, terutama di beberapa wilayah, kami mempunyai 175 kes yang telah dirawat dan keluar hospital,” kata Jahanpour.

Peningkatan terbesar kes baru itu dilaporkan di wilayah Tehran, di mana 170 orang diuji positif virus itu.

Sebanyak 44 kes baru dilaporkan di wilayah tengah Markazi dan 31 di wilayah utara Alborz.

Manakala 30 dilaporkan di kota suci Syiah Qom, di mana 2 kematian pertama diumumkan pada 19 Feb.

Terdapat 28 kes di wilayah Gilan, di Laut Caspian di timur laut negara itu, 17 di timur laut Khorasan Razavi dan 8 di wilayah selatan Fars.