2 Adun PH sokong kerajaan baru Melaka

Adun DAP Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Adun PKR Muhammad Jailani Khamis (Rembia) berikrar memberi sokongan kepada kerajaan baru negeri Melaka.

PETALING JAYA: Masing-masing seorang Adun DAP dan PKR di Melaka memutuskan untuk menjalin kerjasama dengan Perikatan Nasional, gabungan politik baru yang dibentuk selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya tumbang susulan keputusan PPBM meninggalkan gabungan itu.

Adun Rembia, Muhammad Jailani Khamis berkata, keputusannya menyokong Perikatan Nasional dibuat selepas kecewa dengan pentadbiran 22 bulan kerajaan PH, yang menurutnya gagal memainkan peranan dalam memperbaiki kehidupdan rakyat selepas mendapat mandat pada pilihan raya umum lalu.

“Kehadiran kami ini menunjukkan kami ingin bergabung. Tidak ada unsur keluar dari parti, tetapi atas kapasiti individu. Kami bergabung dengan Barisan Nasional (BN) dan PPBM untuk membentuk kerajaan negeri Melaka. Soal siapa akan jadi ketua menteri, itu soal kemudian.

“Saya harap rakyat di negeri faham. Mandat yang diberikan adalah untuk kehidupan lebih baik. Kepercayaan yang diberikan kepada PH dalam tempoh 22 bulan lepas, saya tidak nampak PH memainkannya,” katanya dalam satu sidang media di sebuah hotel di Melaka hari ini.

Jailani, yang mewakili PKR, ketika ditanya apakah beliau tidak gusar dengan tindakan yang akan diambil oleh parti terhadapnya berkata, kepentingan rakyat adalah lebih penting daripada kepentingan parti.

“Mungkin kita akan cuba melalui pembentukan kerajaan baru. Kita akan cuba selesaikan masalah negeri, khususnya masalah air. Saya harap sangat, jangan beri penilaian awal pada kita. Lihat 3 tahun ini macam mana. Cukuplah dengan politik, berpolitik hanya 5 tahun sekali,” katanya.

Sementara itu, Adun Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee dari DAP berkata, keputusannya untuk turut serta dalam gabungan Perikatan Nasional adalah disebabkan kecewa dengan kepimpinan PH sebelum ini.

Menurutnya, keputusan ini dibuat demi kepentingan orang Melayu.

“Saya sudah bekerja keras, bertungkus lumus. Mereka kata mereka hendak berkhidmat tetapi saya tengok, saya yang jadi ‘barua’. Memang saya jadi ‘barua’. Saya memang ‘outspoken’ bila hati, jiwa dan raga saya sudah serahkan, tetapi ini yang berlaku.

“Hari ini saya kembali ke pangkuan. Saya yakin, saya bersama-sama dengan bekas ketua menteri Melaka Idris Haron, pengerusi Umno Melaka, Abd Rauf Yusoh dan lain-lain.

“Saya harap barisan kepimpinan yang ada ini tidak mengecewakan rakyat. Saya minta kita bekerja untuk rakyat,” katanya.

Ketika ditanya berhubung pendiriannya dengan parti, Norhizam memberitahu “Itu antara saya dengan parti. Saya bersedia”.

Abd Rauf dalam sidang akhbar yang sama berkata, kedua-dua mereka bersetuju untuk menyokong BN dan PPBM untuk membentuk kerajaan negeri baru, sekali gus memberitahu sudah mendapat sokongan 17 Adun dan bersedia membentuk kerajaan.

Sebelum ini, situasi kerajaan Melaka dikatakan tergantung selepas PPBM mengumumkan keluar PH, menjadikan komposisi kerusi DUN Melaka antara PH dan BN terikat 13-13.

Pada 29 Feb, timbalan pengerusi PPBM Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen dilaporkan berkata, PPBM negeri akan mengikut pengurusan keadaan parti peringkat nasional dan akan berbincang dengan BN negeri bagi mendapatkan 15 daripada 29 kerusi DUN untuk menubuhkan kerajaan baru.

Rauf, Idris Haron dan 2 Adun PPBM Mohd Rafiq Naizamohideen dan Noor Effandi Ahmad sebelum ini sudah bertemu dengan Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Khalil Yaakob untuk mengemukakan tujuan membentuk kerajaan negeri baru.