Hotel di KL bersedia hadapi gelombang kedua Covid-19

Ahli jawatankuasa MAH KL (dari kiri) Rajesh Daswani, Mondi Mecja, How Ai Bee, pengerusi BE Lim, Jonathan Lai, Sazruo Fadzil dan Dylen Gan pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR: Persatuan Hotel Malaysia (MAH) cawangan Kuala Lumpur berkata pihaknya bersiap sedia untuk menghadapi gelombang ke-2penularan jangkitan Covid-19, dengan langkah berjaga-jaga yang mencukupi di hotel di sini.

Pengerusi MAH KL, BE Lim berkata, langkah pencegahan itu bermula dari kakitangan baris depan hotel sehingga ke bahagian belakang bagi melindungi pelanggan dan juga kakitangan.

Jelasnya, sanitiser tangan boleh diakses secara meluas di setiap tingkat hotel, manakala topeng muka juga akan disediakan mengikut permintaan.

“Hotel juga mempunyai rancangan tangani krisis mereka sendiri bagi memastikan tindak balas dan pelaksanaan yang betul dalam mana-mana senario kecemasan, termasuk pengurusan pandemic penyakit berjangkit.

“Pasukan tindak balas kecemasan akan bersedia sepanjang masa dan dilengkapi dengan peralatan pelindung diri yang mencukupi,” katanya pada satu taklimat media di Hotel Gardens di sini hari ini.

Tambahnya lagi, anggota MAH juga mempunyai bilik pengawalan sendiri sekiranya berlaku kes jangkitan, manakala bilik yang disyaki dijangkiti akan dikunci dan dikawal, sebelum ia disahkan bersih oleh petugas penyahjangkitan Kementerian Kesihatan.

Menurut ahli jawatankuasa MAH KL Rajesh Daswani, sesetengah hotel juga merekodkan suhu badan tetamu semasa ketibaan dan sebelum keluar (check out).

“Ia bukan keperluan mengikut undang-undang, tetapi hotel mempunyai pilihan untuk ‘menaikkan’ apa-apa piawaian yang mereka ambil sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kini kita tahu tentang Covid-19 dengan lebih baik dan kita faham bagaimana ia tersebar, maka kita tahu cara untuk menghalang penularannya,” kata Rajesh.

Terdahulu hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata “gelombang kedua” jangkitan Covid-19 bermula dengan 7 kes baru yang dilaporkan dan dikaitkan dengan pelancong yang tidak datang dari China, tetapi Jepun dan Itali.