Jangan usik kes VIP di mahkamah, kata Annuar Musa

Annuar Musa menggesa semua pihak menghormati sistem pengasingan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman dengan tidak mencampur adukkannya dengan kepentingan politik.

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa mengingatkan kerajaan persekutuan baru yang akan dibentuk supaya tidak mencampuri urusan mahkamah, termasuk menggugurkan kes berprofil tinggi membabitkan ahli parti itu.

“Kalau kita campur tangan dengan menarik balik kes mereka yang didakwa, rakyat akan kata kerajaan tidak hormati undang-undang dan badan kehakiman tidak bebas, maka jangan sampai konsep itu ternoda,” katanya kepada Bernama selepas menjadi panel jemputan bersama Ketua Biro Dasar dan Strategi PPBM, Rais Hussin dalam sebuah program televisyen malam tadi.

Beliau turut menggesa pertuduhan bermotifkan politik di mana pemimpin diheret ke mahkamah tanpa bukti dan sebab kukuh dihentikan.

Annuar tidak menyatakan kes yang dimaksudkannya. Tetapi, bekas presiden Umno dan perdana menteri, Najib Razak sedang dibicarakan atas berpuluh tuduhan berkaitan penyalahgunaan kuasa dan rasuah akibat skandal 1MDB.

Isteri Najib, Rosmah Mansor dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi pula berdepan pelbagai pertuduhan, manakala beberapa pemimpin Umno lain menghadapi dakwaan pengubahan wang kerana menerima wang yang dikatakan daripada dana 1MDB.

Annuar turut menggesa semua pihak menghormati sistem pengasingan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman dengan tidak mencampur adukkannya dengan kepentingan politik.

“Walau bertukar kerajaan, sistem peraturan perundangan tetap berjalan seperti biasa… maka sebagai pihak eksekutif tidak boleh campur tangan…kalau kita hormati konsep itu, maka tiada kebimbangan.”

Sementara itu, Annuar berkata, terpulang kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin sama ada mahu melantik mereka bagi melengkapkan barisan Kabinet mengikut pertimbangan dan kewajarannya.

“Kalau lantik atau tidak lantik, jangan hukum kerana seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan… maka saya yakin perdana menteri akan menggunakan kebijaksanaan dan pengalaman politik beliau dalam memilih barisan Kabinetnya.”

Katanya, tiada tempat dalam gabungan Muafakat Nasional untuk mereka yang rasis dan mahu menjadi hero kepada satu bangsa tertentu saja.

“Meskipun gagasan ini didominasi orang Melayu, namun kita tidak seharusnya hanya melihat kebajikan satu kaum saja…Kabinet hanya untuk mereka yang menghargai kemajmukan dan sama-sama mainkan peranan.

“Saya pasti perdana menteri akan membariskan wakil rakyat pelbagai kaum di dalam Kabinetnya… Insya Allah Muhyiddin tidak akan memilih orang yang mendukung sikap rasis atau cauvinis.”

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-8 semalam. Beliau akan mengetuai gabungan yang terdiri daripada PPBM, Barisan Nasional dan PAS.

Gabungan baru itu muncul susulan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang akibat penarikan diri PPBM daripada gabungan itu.