Kematian global Covid-19 melebihi 3,000

Kakitangan perubatan sedang memantau pesakit Covid-19 yang kritikal di hospital Wuhan. (Gambar AP)

BEIJING: Jumlah kematian di seluruh dunia berhubung wabak Covid-19 melebihi 3,000 pada Isnin, di mana China melaporkan lebih 42 kematian.

Kematian baru adalah di wilayah Hubei, kata Suruhanjaya Kesihatan Negara, yang menjadikan jumlah keseluruhan di China kepada 2,912 kes.

Para pegawai kesihatan juga melaporkan jangkitan baru harian paling rendah sejak akhir Januari dengan 202 kes baru.

Di China, jumlah kes baru yang dilaporkan menurun secara beransur-ansur dan terdapat hanya 6 jangkitan baru yang disahkan di luar Hubei.

Virus itu muncul hujung tahun lalu di Hubei tetapi kini merebak ke lebih 60 negara di seluruh dunia.

Amerika Syarikat dan Australia melaporkan kematian pertama mereka pada hujung minggu lalu, sementara jangkitan hampir 2 kali ganda dalam tempoh 48 jam di Itali.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada Ahad berkata virus itu menyerang mereka yang berusia lebih 60 tahun dan orang yang lemah akibat penyakit lain.

Agensi itu berkata kebanyakan mereka yang dijangkiti Covid-19 mengalami gejala ringan, sementara kira-kira 14% menderita penyakit teruk seperti radang paru-paru dan 5% mengalami sakit kritikal.

Ia berkata kadar kematian akibat wabak itu kelihatan antara 2 hingga 5%.