KM Melaka mohon bubar DUN, beri ruang pilihan raya negeri

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari membuat permohoan untuk membubarkan DUN negeri itu hari ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ketua Menteri Melaka Adly Zahari memohon Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi memberi peluang kepada pilihan raya negeri diadakan.

Dalam satu kenyataan, Adly memberitahu beliau sudah bertemu Yang di-Pertua Negeri Melaka Khalil Yaakob pada jam 4.30 petang hari ini bagi memaklumkan permohonan tersebut.

Beliau berkata, Perkara 7 (4) perlembagaan negeri Melaka menetapkan sekiranya ketua menteri tidak lagi mendapat sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri, maka beliau hendaklah meletak jawatan.

“Mengambil kira keadaan ketidakstabilan politik negeri Melaka yang boleh menjejaskan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

“…maka saya telah mencadangkan kepada Tuan Yang Terutama untuk membubarkan DUN Melaka bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.”

Sebelum ini, situasi kerajaan Melaka dikatakan tergantung selepas PPBM mengumumkan keluar Pakatan Harapan (PH) menjadikan komposisi kerusi DUN Melaka antara PH dan Barisan Nasional (BN) terikat 13-13.

Pada 29 Feb, timbalan pengerusi PPBM Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen dilaporkan berkata, PPBM negeri akan mengikut pengurusan keadaan parti peringkat nasional dan akan berbincang dengan BN negeri bagi mendapatkan 15 daripada 29 kerusi DUN untuk menubuhkan kerajaan baru.

Sekiranya DUN Melaka dibubarkan, negara bakal menyaksikan PH kehilangan satu lagi negeri selepas Johor susulan kemelut politik sejak seminggu yang lalu yang turut menyaksikan pentadbiran Putrajaya bertukar tangan kepada gabungan parti politik baru melibatkan PPBM, BN, PAS, GPS dan beberapa ahli Parlimen lain.