Lantik segera menteri kesihatan tangani Covid-19, kata pertubuhan kesihatan

Pertubuhan kesihatan awam berkata, peranan menteri kesihatan menjadi semakin perlu untuk menyampaikan maklumat mengenai perkembangan dan kemajuan langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi membendung ancaman Covid-19. (Gambar AP)

PETALING: Sebuah pertubuhan kesihatan awam menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melantik segera menteri kesihatan bagi pengurusan efektif penularan wabak Covid-19.

Azrul Mohd Khalib.

Ketua eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata, kerajaan baru yang dibentuk itu perlu mengutamakan respons dan pengurusan wabak Covid-19.

Katanya, pelantikan menteri akan mengisi “jurang kritikal” dalam kepimpinan sistem kesihatan awam, terutama berkait pasukan petugas pelbagai kementerian Covid-19.

Menteri baru perlu memastikan logistik, sumber manusia dan dana yang perlu bagi membolehkan kerajaan terus menyediakan pegawai profesional penjagaan kesihatan baris depan dan khidmat sokongan yang diperlukan.

“Ini akan memastikan khidmat kesihatan Malaysia dapat meneruskan usaha bagi mengawal penyakit berkenaan dan mereka yang dijangkiti,” kata Azrul.

Beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini meningkatkan taksiran risiko Covid-19 ke peringkat paling tinggi dari segi penularan dan kesan virus tersebut, sekali gus mengeluarkan amaran bahawa penyakit itu hampir menjadi pandemik.

“Kita melihat peranan menteri kesihatan menjadi semakin perlu berbanding sebelum ini untuk menyampaikan maklumat mengenai perkembangan dan kemajuan langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi membendung ancaman kesihatan ini.

“Kepimpinan yang tegas dan kompeten amat diperlukan,” katanya.