Lelaki China dihukum mati selepas tikam pegawai buat pemeriksaan Covid-19

Kampung dan komuniti di China melakukan sekatan mereka sendiri bagi membendung penyebaran Covid-19. (Gambar AP)

BEIJING: Mahkamah di China menjatuhi hukuman mati terhadap seorang lelaki kerana menikam 2 pegawai di pusat pemeriksaan yang ditubuhkan untuk mengawal penyebaran wabak Covid-19.

Virus ini menjangkiti lebih 80,000 orang dan mengorbankan hampir 3,000 di China – mendorong rangkaian pemeriksaan suhu, sekatan perjalanan, pemeriksaan kediaman dan penutupan premis seluruh negara.

Kebanyakan kampung dan komuniti juga melakukan sekatan mereka sendiri dan langkah-langkah yang ketat untuk mengawal aliran keluar masuk orang ramai, bimbang bahawa pelancong akan menjangkiti komuniti mereka.

Pada Ahad, mahkamah menjatuhi hukuman mati terhadap lelaki berusia 23 tahun itu selepas dia menikam 2 pegawai di satu pusat pemeriksaan kampung.

Insiden itu berlaku pada 6 Feb apabila Ma Jianguo memandu minivan melalui pusat pemeriksaan di kampung Luo Meng di Honghe, wilayah barat daya Yunnan, di mana dia diarahkan berhenti.

Selepas Ma enggan bekerjasama dengan pegawai tersebut, penumpangnya cuba membuka sekatan jalan itu, kata mahkamah, dan pegawai tersebut mula merakam Ma dan lelaki terbabit melalui telefon bimbitnya.

Ma yang marah menikam pegawai terbabit di dada dan perut dengan pisau yang dibawanya dan kemudian menyerang pegawai lain yang datang untuk membantu mangsa.

Kedua-dua lelaki itu mati akibat kecederaan.

Kenyataan mahkamah mengatakan walaupun Ma “menyerah diri secara sukarela dan mengaku bersalah”, pembunuhan itu “sangat ganas”.