Misi singkir Dr M berjaya, kata kumpulan pro-Anwar

Setiausaha Kumpulan Otai Reformis, Abdul Razak Ismail.

KUALA LUMPUR: Kumpulan pro-Anwar Ibrahim berkata objektif mereka berjaya susulan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir Mohamad sehingga membawa kepada pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri ke-8.

Setiausaha Kumpulan Otai Reformis, Abdul Razak Ismail berkata walaupun hasrat Anwar menjadi perdana menteri gagal, kumpulan itu memberi gambaran “puas” apabila Mahathir tidak lagi menjawat jawatan tersebut.

Kepuasan itu berganda apabila Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden Zuraida Kamaruddin dipecat dari parti di mana mereka sebelum ini dianggap sebagai individu yang menghalang Anwar menjadi perdana menteri.

“Objektif Otai sebenarnya sudah berjaya, pertama turunnya atau tersingkirnya Dr Mahathir secara memalukan.

“Kedua, Azmin dan Zuraida telah dipecat dari PKR,” katanya kepada FMT.

Razak menambah, walaupun gembira Mahathir bukan lagi perdana menteri, namun kumpulan itu tetap menentang pembentukan kerajaan pintu belakang yang diketuai Muhyiddin.

“Semangat kebangkitan gelombang rakyat sudah bermula untuk tumbangkan ‘rampasan kuasa’ kerajaan pintu belakang ini.

“…saya jangka demo turun ke jalan raya era 1998 akan meletus semula, semalam sendiri disaksikan demo secara aman depan Sogo untuk bantahan pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri ke-8, ini bakal disusuli dengan demo-demo yang lebih besar masa terdekat.

“Terpulang keputusan Majlis Presiden PH untuk lantik PM seterusnya… tapi Otai ‘reserve’ sokongan sekira Dr M dicalonkan semula sebagai PM,” katanya.

Otai merupakan kumpulan pendokong kuat Anwar ketika pemerintahan Pakatan Harapan. Mereka antara NGO yang dilihat paling lantang mendesak Mahathir menyerahkan kuasa selaras dengan janji yang dibuat gabungan itu sebelum pilihan raya umum di mana ia perlu diserah dalam tempoh 2 tahun.

Muhyiddin, 72, mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri ke-8 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, di Istana Negara semalam (1 Mac).

Sultan Abdullah bersetuju dengan pelantikan Muhyiddin itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ia susulan tumbangnya kerajaan PH selepas PPBM mengumumkan keluar gabungan itu diikut beberapa pimpinan PKR.

Kerajaan baru kini disertai gabungan PPBM, BN, PAS, GPS dan bebas.

Sejak pembentukan kerajaan baru, beberapa kumpulan kecil mula mengadakan demonstrasi termasuk di Dataran Merdeka dan Sogo.

Pihak polis memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak melakukan bantahan dan menghormati proses pertukaran kerajaan.