Pendakwa buat permohonan hina mahkamah terhadap Zahid

Peguam Zahid, Hisyam The Poh Keit memohon supaya prosiding hari ini ditangguhkan sehingga esok kerana anak guamnya dijadualkan berjumpa perdana menteri berhubung pelantikan Kabinet. (Gambar Fail)

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes pecah amanah jenayah (CBT) dan rasuah membabitkan Ahmad Zahid Hamidi hari ini memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap beliau atas dakwaan membuat kenyataan palsu.

Terdahulu hari ini, peguam Zahid, Hisyam Teh Poh Keit memohon supaya prosiding hari ini ditangguhkan sehingga esok kerana anak guamnya dijadualkan berjumpa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berhubung pelantikan Kabinet.

Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan selepas itu menafikan bahawa pemimpin politik dijadualkan menghadiri mesyuarat untuk membincangkan perkara itu.

“Pejabat Perdana Menteri ingin menjelaskan bahawa tiada mesyuarat atau sebarang perjumpaan dengan pemimpin politik dijadualkan hari ini,” kata kenyataan itu.

Timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran yang membuat permohonan itu berkata, mereka dapati tidak ada mesyuarat sedemikian.

“Beliau dengan sengaja berbohong untuk mendapatkan cuti 1 hari. Saya ingin membuat permohonan menghina mahkamah.

“Saya dengan takzim memohon supaya Yang Arif menggunakan budi bicara di bawah Perintah 52 peraturan 2A Peraturan-peraturan Mahkamah. Perbuatan beliau tidak boleh diterima. Beliau menjadikan kita semua seperti orang bodoh,” katanya.

Hisyam berkata mungkin berlaku “salah faham kerana salah penggunaan perkataan” dalam memohon penangguhan tersebut.

“Perdana menteri terpaksa bergegas ke Muar dan anak guam saya tidak bertujuan membohongi atau menghina mahkamah,” katanya.

Katanya ini bukanlah kes yang “tepat dan sesuai” untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Zahid.

Beliau kemudiannya mengemukakan beberapa helaian nota kepada hakim Collin Lawrence Sequerah bagi menunjukkan bahawa Zahid menghadiri satu mesyuarat di Putrajaya.

Raja Rozela bagaimanapun menggesa hakim menolak penghujahan Hisyam dengan berkata, Zahid sepatutnya mengemukakan surat daripada PMO bagi membuktikan beliau dijadualkan berada di Putrajaya.

“Nota ini mungkin disediakan sebelum hadir ke mahkamah,” katanya.

Zahid yang bercakap kepada hakim berkata, beliau akan mengemukakan surat daripada PMO esok, selain menjelaskan keadaan yang berlaku hari ini.

Beliau berkata, menjadi kelaziman bagi pemimpin parti politik mengemukakan senarai lantikan ke Kabinet.

“Apa yang berlaku hari ini bukanlah untuk pengetahuan umum atau media,” katanya, selain menambah bahawa mesyuarat itu sepatutnya bermula pada 12.15 tengah hari, tetapi beliau tiba lewat 30 minit.

Raja Rozela bertanya kenapakah PMO mengeluarkan kenyataan menafikan mesyuarat tersebut sekiranya penjelasan Zahid hendak diterima.

Sequerah berkata beliau akan menangguhkan keputusan sehingga esok selepas Zahid mengemukakan surat berkenaan.

Zahid, yang merupakan presiden Umno dan ahli Parlimen bagan Datoh, berdepan 47 pertuduhan pecah amanah jenayah membabitkan dana Yayasan Akalbudi, pengubahan wang serta menerima rasuah membabitkan pelbagai projek semasa menjadi menteri dalam negeri.

Zahid berkata, walaupun parti pimpinannya merupakan sebahagian daripada kerajaan baru Perikatan Nasional, beliau mahu kesnya diteruskan bagi membersihkan namanya di mahkamah.