Perbicaraan Shafee batal, beri laluan kes 1MDB, SRC Najib

Peguam Muhammad Shafee Abdullah.

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes peguam Muhammad Shafee Abdullah, yang berdepan 2 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Najib Razak dan 2 pertuduhan membuat kenyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dibatalkan untuk memberi laluan kepada perbicaraan kes 1MDB dan SRC International bekas perdana menteri.

Pendakwa Raya ad hoc Gopal Sri Ram berkata perjanjian itu dicapai selepas pengurusan kes di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin, yang akan mempengerusikan perbicaraan Shafee.

“Perbicaraan ini akan memberi laluan kepada perbicaraan 1MDB dan SRC yang sedang berjalan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata satu lagi pengurusan kes akan diadakan pada 30 April.

Perbicaraan Shafee, yang didakwa pada September 2018, dijadualkan bermula dari 19 Mac.

Peguam Sarah Abishegam mewakili Shafee.

Shafee, 67, mengaku tidak bersalah menerima hasil daripada kegiatan yang menyalahi undang-undang melalui cek yang dikeluarkan oleh Najib, yang dikirim ke akaun CIMB Bank Bhd milik Shafee.

Beliau didakwa menerima cek bernilai RM4.3 juta pada 13 Sept 2013 dan 1 lagi bernilai RM5.2 juta pada 17 Feb 2014.

Beliau dikatakan melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku.

Shafee juga berdepan 2 tuduhan melibatkan urus niaga hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang dengan membuat kenyataan yang tidak tepat dan melanggar Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014 .

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di cawangan Duta LHDN di Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tunku Abdul Halim pada 2015.

Perbicaraan rasuah 1MDB Najib akan disambung semula pada 10 Mac.

Ini diputuskan selepas pengurusan kes di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah hari ini.

Saksi pendakwaan ke-9, bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, masih dalam pemeriksaan balas.

Najib, 67, menghadapi 25 tuduhan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa berhubung dana 1MDB ke dalam akaun AmBanknya.

Beliau dituduh menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah RM2.28 bilion pada Februari 2011 dan Disember 2014.

Beliau juga dikatakan memindahkan RM2.28 bilion dalam dana itu ke akaun banknya dan kemudian menggunakan wang tersebut.

Beliau juga dituduh menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan kepada pinjaman RM4 bilion daripada SRC International dari Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan).

Perbicaraan akan bermula petang ini di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.