Pertandingan nama pelik bawa tuah ‘003’

Piza dalam bentuk ‘003’ mencuri perhatian berdasarkan nama pemenang.

Siapa yang tidak mahu memenangi hadiah apabila setiap kali menyertai pertandingan.

Bak kata pepatah “Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia pada nama”.

Itulah yang berlaku terhadap seorang lelaki di Mexico apabila nama peliknya Zero Zero Three berjaya memenangi dua piza, sekali gus menjadi terkenal sekelip mata.

Zero Zero Three berjaya mengalahkan peserta lain dalam satu pertandingan nama pelik di restoran piza terkemuka di Merida.

Restoran itu mengadakan pertandingan nama pelik dan pemenang layak mendapatkan promosi menarik.

Zero Zero Three berjaya mengalahkan peserta nama pelik lain seperti Vercingetoriz, Nivea dan Bahtzibadi apabila nama Sepanyolnya Cero Cero Tres (Zero Zero Three) diumumkan sebagai pemenang dan memenangi 2 piza pepperoni besar hanya dengan harga 49 peso.

Portal Odditycentral melaporkan, anak ketiga daripada empat beradik itu dibesarkan di Amerika Syarikat dan hanya mengetahui nama penuhnya Cero Cero Tres Miller Santos Chablé ketika berusia 15 tahun selepas kembali semula ke Mexico.

Sebelum itu, dia yang dibesarkan di Amerika Syarikat dipanggil dengan nama Bambino oleh keluarga dan rakan.

Bagaimanapun, keluarganya memutuskan sudah tiba masanya untuk dia mengetahui nama sebenarnya dan menyerahkan sijil kelahirannya.

Itulah kali pertama dia mengetahui nama sebenarnya Zero Zero Three.

Menurutnya, ibunya yang mahu mendaftarkan namanya 003 namun permintaan mereka ditolak kerana angka tidak dapat diterima sebagai nama sebelum mereka mengubahnya kepada Zero Zero Three.

Mengakui nama peliknya itu sering menyebabkan dia dibuli di sekolah namun perlu membiasakan diri dengan nama itu.

“Saya akui sering dibuli kerana nama pelik saya, tetapi lama kelamaan saya belajar ini adalah sebahagian daripada identiti saya dan tidak malu untuk mengaku ini adalah nama saya,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]