PM ucap tahniah kepada Hasni atas lantikan sebagai MB Johor
Muhyiddin menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas perkenannya dalam pelantikan jawatan menteri besar Johor yang baru..
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin hari ini mengucapkan tahniah kepada Hasni Mohammad atas pelantikan sebagai menteri besar Johor yang baru.
“Saya mendoakan agar negeri Johor terus maju jaya di bawah kepimpinan Hasni,”kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Muhyiddin turut merafak sembah dan menjunjung kasih kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas perkenannya dalam pelantikan jawatan menteri besar itu.
Hasni, 61, mengangkat sumpah sebagai menteri besar ke-18 di hadapan Sultan Ibrahim di Istana Bukit Serene, Jumaat lalu.
Adun Benut itu merupakan pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor dan pengerusi Umno negeri itu.
Pelantikan Hasni mendapat perkenan Sultan Johor selepas kerajaan Gabungan Baharu memperoleh majoriti mudah, iaitu 28 kerusi susulan sesi temu bual baginda bersama-sama kesemua Adun di Bukit Timbalan, Rabu lalu.
Gabungan Baharu itu merangkumi BN, PAS dan PPBM.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
PPBM mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) pada 24 Feb lalu.