Polis siasat demo Sogo

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.

KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan terhadap tunjuk perasaan di Sogo semalam, yang dihadiri aktivis Marina Mahathir dan Ambiga Sreenevasan antara lain.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata demikian pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Beliau menambah butiran lanjut perkara itu ada dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Huzir Mohamed.

Ketika ditanya Huzir berkata, kertas siasatan dibuka semalam berikutan 1 laporan polis yang dibuat mengenainya.

Ditanya sama ada Marina dan Ambiga akan dipanggil ke Bukit Aman untuk disoal siasat, beliau berkata, “saya tak tahu. Kami sedang menyenaraikan mereka yang hadir di situ semalam.”

Beliau berkata, peguam Fadiah Nadwa Fikri akan dipanggil untuk disoal siasat esok.

“Dia sudah dimaklumkan,” katanya dengan menambah bahawa peguam itu akan disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman dan juga Akta Hasutan.

“Dia (Fadiah) kata demokrasi telah mati,” katanya kepada pemberita.

Dalam satu hantaran di Twitter pada 1 Mac, Fadiah berkata, beliau dijadikan sasaran selepas perhimpunan di Dataran Merdeka itu, selain disiasat kerana menyalahgunakan kemudahan rangkaian.

Katanya beliau disiasat di bawah Seksyen 4 (1)(a) Akta Hasutan dan Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia.