Putrajaya pimpinan Muhyiddin perlu wakili semua rakyat, bukan Melayu sahaja, kata Tok Mat

Timbalan presiden Umno Mohamad Hasan berkata, ussaha menjadikan Malaysia negara lebih baik memerlukan kerja keras, idea tulen dan keeratan kerjasama merentasi kaum dan agama.

PETALING JAYA: Rakyat mengharapkan pemerintahan baru yang diketuai Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri ke-8 akan menjadi kerajaan yang mewakili semua pihak, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Mohamad berkata, adalah menjadi tanggungjawab Muhyiddin dan rakan sekutu daripada 3 parti Melayu utama negara mengembalikan kepercayaan rakyat setelah mereka menyaksikan peralihan kuasa kerajaan yang berlaku dalam tempoh 7 hari lepas.

“Malaysia mesti diuruskan dengan pendekatan terangkum dan berkeadilan. Semua punya hak, keutamaan dan kepentingan di bawah lembayung langit Malaysia.

“Keutamaan memulihkan kedudukan ekonomi negara wajar menjadi keutamaan tertinggi. Kesuraman ekonomi Malaysia mesti dicergaskan kembali dan usaha ini mesti dilipat gandakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, apa yang berlaku dalam tempoh seminggu dua ini adalah lumrah dalam amalan demokrasi yang semakin dewasa, tetapi kadang-kadang tidak menentu, tetapi rakyat mesti kembali bertaut sebagai sebuah bangsa dan negara.

“Kepada semua rakyat Malaysia, keutamaan kita adalah tanah air dan masa depannya. Setiap kita menyimpan cita-cita untuk Malaysia yang terbaik. Inilah persamaan yang selalu kita lupai,” katanya.

Mohamad berkata, dalam menjadikan masa depan Malaysia lebih baik, tidak memerlukan pidato yang inspiratif atau retorik yang menusuk kalbu, sebaliknya memerlukan kerja keras, idea tulen dan keeratan kerjasama merentasi kaum dan agama.

Beliau turut memuji sikap dan pendekatan yang diambil rakyat Malaysia dalam menghadapi krisis yang berlaku yang memperlihatkan kematangan mereka dalam mengekalkan keamanan dan keharmonian dalam negara.

“Tiada yang ke jalanraya dan menunjuk rasa. Yang di-Pertuan Agong sudah melaksanakan tanggungjawab seperti ditetapkan dalam Perlembagaan negara. Rakyat tidak panik dan bertindak terburu-buru.

“Terima kasih rakyat Malaysia kerana sikap sangat sabar dan bertanggungjawab ini. Anda semua adalah petunjuk sebenar bangsa yang berkemajuan,” katanya.

Presiden PPBM Muhyiddin Yassin semalam mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri ke-8 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Pelantikan Muhyiddin dibuat selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Pagoh itu dilantik ke jawatan tersebut susulan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad pada 24 Feb, sehingga mencetuskan krisis politik tanah air yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh dan kuasa kerajaan bertukar tangan.