Speaker Dewan Rakyat masih tunggu tarikh baru persidangan

Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof.

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof, berkata pihaknya masih menunggu jawapan balas daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi mendapatkan penetapan tarikh baru persidangan.

“Kita masih menunggu jawapan (PMO),” katanya kepada media selepas hadir satu majlis makan malam di Parlimen, hari ini.

Untuk rekod, persidangan Dewan Rakyat lepas ditangguhkan pada 5 Dis, 2019, sementara sidang kali ini dijadualkan bermula pada 9 Mac ini.

Bagaimanapun, media melaporkan terdapat spekulasi bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mungkin cuba menangguhkan sidang sehingga beliau dapat mengukuhkan kedudukannya dengan memastikan kerajaan memiliki majoriti selesa di Dewan Rakyat.

Ini selepas Pakatan Harapan (PH) mendakwa mempunyai sokongan 114 ahli Parlimen, iaitu majoriti tipis daripada 222 kerusi dewan.

Keadaan ketika ini dikatakan masih tidak menentu memandangkan ahli Parlimen masih beralih sokongan berikutan tumbangnya kerajaan PH selepas PPBM pimpinan Muhyiddin bertindak keluar gabungan politik itu.

Beliau kemudiannya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai perdana menteri ke-8 atas sokongan PPBM, BN, PAS, GPS dan beberapa ahli Parlimen lain.