Afif serah pada pimpinan PKR tentukan kedudukannya

GEORGE TOWN: Bekas timbalan ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin menyerahkan kepada pimpinan parti untuk menentukan kedudukannya.

Timbalan ketua bahagian Permatang Pauh itu berkata beliau berjumpa dengan Presiden Anwar Ibrahim untuk menerangkan kedudukan dan pendiriannya dalam mesyuarat, Ahad lepas.

“Bulan lepas saya terima surat tunjuk sebab daripada lembaga disiplin dan saya menjawab surat itu pada Rabu lepas. Kedudukan saya dalam parti masih belum disahkan apa-apa kerana saya masih lagi dirujuk kepada jawatankuasa disiplin…yang pasti saya serah kepada kepimpinan parti untuk menentukan kedudukan saya.

“Saya ingat perjumpaan saya dengan presiden Ahad lepas cukup untuk beliau maklum tentang pendirian dan kedudukan saya pada hari ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Panel Penasihat Klinik Kesihatan Peringkat Pulau Pinang hari ini.

Pada 21 Feb lepas, Afif menerima surat tunjuk sebab daripada lembaga disiplin PKR yang mendakwa beliau melakukan aktiviti sabotaj dengan mencetus dan/atau bersekutu untuk menimbulkan rusuhan serta pergolakan pada kongres nasional Pemuda PKR 2019, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh Melaka pada 6 Dis tahun lepas, dengan tujuan untuk membatalkan kongres tersebut.

Sementara itu, Afif buat masa ini akan terus melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat sebagai Adun Seberang Jaya dan exco kerajaan negeri.

“Saya tahu tanggungjawab dan jawatan yang saya ada hari ini bukan hak saya, bukan keistimewaan tetapi satu amanah yang diberikan untuk saya…yang pasti saya akan teruskan amanah diberikan ini, selagi mana saya diperlukan.”