Ahli Parlimen bukan Islam sokong Muhyiddin masih bimbang selepas ucapan ‘PM untuk semua’

Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-8 pada Ahad lalu selepas mendapat sokongan ahli Parlimen PPBM, BN, PAS dan GPS. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sejumlah ahli Parlimen bukan Islam dalam Perikatan Nasional masih bimbang sama ada pendapat mereka berpengaruh dalam gabungan majoriti Melayu Islam, selepas Muhyiddin Yassin memberi jaminan beliau akan menjadi perdana menteri untuk semua kaum.

Dua ahli Parlimen bukan Islam dalam blok pemerintah baru memberitahu FMT, kebimbangan itu masih wujud selepas “orang Muhyiddin” memberi jaminan semula.

“Kami mahu suara kami didengari. Majoriti ahli Parlimen menyokong Muhyiddin ialah orang Melayu, termasuk mereka daripada PAS,” kata seorang daripada ahli Parlimen itu.

Beliau berkata, orang Cina, India dan bukan Islam di Sabah serta Sarawak mungkin merasakan tiada wakil mereka dalam kerajaan sekarang.

“Ada keraguan, tetapi ketika perbualan saya dengan orang-orang Muhyiddin, kami diberikan jaminan bukan Islam akan dijaga. Kami diberitahu beliau tidak akan mengetepikan kami.”

Ahad lalu, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-8 selepas mendapat sokongan ahli Parlimen PPBM, Barisan Nasional, PAS dan Gabungan Parti Sarawak. Kurang daripada 12 ahli Parlimen bukan Islam dalam blok itu.

Ahli Parlimen bukan Islam itu termasuk dari Keningau, Beluran, Puncak Borneo, Saratok, Baram, Bintulu, Ayer Hitam, Tanjung Piai, Segamat dan Tapah. Rundingan sedang dilakukan dengan ahli Parlimen bukan Islam lain dari Sabah serta Sarawak.

Semalam, Muhyiddin dalam ucapan sulungnya yang disiarkan secara langsung di televisyen, berikrar akan menjadi perdana menteri untuk semua rakyat Malaysia.

“Saya adalah perdana menteri untuk semua rakyat Malaysia, dari Perlis hingga ke Sabah, baik saudara orang Melayu, saudara orang Cina, saudara orang India, Sikh, Iban, Kadazan, Dusun, Murut, Orang Asal atau apa jua kaum dan etnik, saya adalah perdana menteri saudara.

“Sama ada saudara adalah petani, saudara nelayan, saudara peniaga, saudara penjawat awam, saudara pekerja swasta, saya juga adalah perdana menteri untuk saudara.”

Seorang ahli Parlimen bukan Islam berkata, antara jaminan yang diberikan kepada mereka ialah “muka baru” PAS.

“Kami diberitahu orang ramai akan melihat muka baru PAS supaya semua orang akan selesa dengan mereka.

Katanya, PAS bukan kebimbangan ahli Parlimen bukan Islam dalam gabungan baru itu.

“Dalam beberapa cara, ketika kami mengenali ahli Parlimen PAS, mereka nampaknya okey. Mungkin lebih progresif berbanding Amanah, tetapi kami akan tunggu dan lihat.”

Seorang lagi ahli Parlimen yang menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri menyuarakan kebimbangan berhubung isu seperti pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik, Islamisasi sekolah kebangsaan dan kemungkinan undang-undang syariah lebih ketat di negara ini.

Katanya, dengan orang Melayu menjadi majoriti ahli Parlimen, kerajaan sekarang boleh melakukan “apa yang Pakatan Harapan tidak boleh buat”.

Walaupun jika gabungan itu memutuskan untuk menghantar pulang Naik yang dikehendaki di India atas dakwaan pengubahan wang, katanya, tentangan daripada masyarakat Melayu akan berkurangan.

“Kita perlu berbincang. Tetapi apa yang kami mahu ialah suara kami didengari.”