Azmin kritik tindakan polis terhadap perhimpunan di KL

Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali.

PETALING JAYA: Bekas menteri Mohamed Azmin Ali hari ini mengkritik tindakan polis terhadap peserta perhimpunan yang diadakan pada Ahad, mengatakan hak mengadakan protes aman adalah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perhimpunan di Dataran Merdeka menyusul selepas krisis politik melanda negara minggu lalu, yang akhirnya Muhyiddin Yassin dinamakan sebagai perdana menteri. Ia dihadiri, antara lain, aktivis Marina Mahathir dan Ambiga Sreenevasan.

Semalam, polis berkata mereka membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan itu.

Azmin, yang merupakan antara ahli politik yang terlibat dalam krisis itu, berkata terdapat banyak pandangan yang dilontarkan mengenai perhimpunan itu.

Daripada menjadi terlalu sensitif terhadap mereka, ahli Parlimen Gombak itu berkata, perbezaan pandangan adalah asas untuk “demokrasi yang bertenaga dan sihat”.

“Sehubungan ini, saya menyeru pihak berkuasa membenarkan orang ramai menyuarakan pandangan mereka dan tidak membuat siasatan terhadap mereka yang terlibat dalam protes aman,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga menggesa penganjur menghormati undang-undang dan membuat pemberitahuan awal bagi mengadakan perhimpunan seperti yang diperlukan di bawah Akta Perhimpunan Aman.

“Demokrasi menjamin semangat persaingan idea, yang bermaksud orang awam harus bebas menyatakan pandangan mereka secara aman tanpa mengganggu ketenteraman awam dan keselamatan,” katanya.