Beri jawatan TPM kepada Sarawak atau Sabah, kata pemimpin PAS

Abang Johari Openg (kiri) berkata, jawatan dalam Kabinet persekutuan bukan keutamaan GPS, tetapi pemimpin PAS Sarawak, Zharudin Narudin meminta jawatan timbalan perdana menteri diberikan kepada negeri itu atau Sabah.

KUCHING: Seorang pemimpin PAS meminta Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mempertimbangkan tawaran jawatan timbalan perdana menteri di Kabinet persekutuan kepada pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ketua Penerangan PAS Sarawak, Zharudin Narudin berkata jawatan itu juga boleh diberikan kepada seorang pemimpin dari Sabah.

“Melantik orang Sarawak atau Sabah sebagai timbalan perdana menteri di peringkat persekutuan perlu dipertimbangkan perdana menteri sebagai sebahagian daripada konsensus baru dalam Perikatan Nasional,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, ini akan memberi lebih banyak kuasa kepada pemimpin Borneo untuk memastikan hak Perlembagaan negeri dikembalikan kepada mereka.

“Ini juga untuk memastikan semak imbang dari segi dasar seperti kita semua tahu komposisi kerusi Parlimen Sarawak tidak sampai satu pertiga daripada keseluruhan kerusi.

“Ini menjadikannya sukar untuk negeri itu mempertahankan haknya dan melindungi kepentingannya di peringkat persekutuan.”

Ahad lalu, Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Idris Buang dilaporkan berkata, GPS patut ditawarkan jawatan dalam Kabinet persekutuan, walaupun ia bukan sebahagian daripada Perikatan Nasional.

Katanya, GPS patut menyertai kerajaan persekutuan atas merit sendiri untuk membantu menstabilkan negara dan memanfaatkan kewujudan gabungan itu bagi memperjuangkan matlamat serta agenda Sarawak.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi GPS, Abang Johari Openg dilaporkan berkata, jawatan dalam Kabinet persekutuan yang baru bukan keutamaan parti itu, tetapi beliau akan “meneliti” sebarang tawaran.

Katanya, kepentingan negara dan negeri itu perlu didahulukan.