Covid-19: Kakitangan UDA Holdings diarah kerja dari rumah

Kerja nyah kuman sedang dijalankan di pejabat UDA Holdings di Blok Menara, Kompleks Pertama. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Kakitangan UDA Holdings Berhad (UDA) di Blok Menara, Kompleks Pertama diarah bekerja dari rumah bermula hari ini sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

UDA dalam kenyataan hari ini memaklumkan tindakan itu diambil selepas seorang daripada ahli Lembaga Pengarahnya disahkan positif Covid-19 seperti yang dimaklumkan dalam kenyataan rasmi syarikat itu semalam.

“Berikutan kes itu juga UDA mengambil langkah proaktif dengan melakukan pembersihan serta kerja-kerja nyah kuman di kawasan pejabat berkenaan, dan semua kakitangan di ibu pejabat dibenarkan pulang awal petang semalam bagi memudahkan kerja pembersihan itu,” kata kenyataan itu.

Dalam usaha meningkatkan kawalan keselamatan dan tahap kesihatan, UDA turut mengehadkan aliran keluar masuk orang luar di ibu pejabat di samping menjalankan saringan kesihatan dan pemeriksaan suhu di lobi.

“Pihak pengurusan juga memberikan penutup muka dan hidung serta pembasmi kuman tangan kepada pelawat dan kakitangan sebagai langkah berjaga-jaga.

“Langkah itu diambil atas saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 dan meningkatkan kawalan keselamatan serta tahap kesihatan,” menurut kenyataan itu.

UDA turut memaklumkan syarikat itu sentiasa komited melaksanakan langkah-langkah yang perlu mengikut saranan KKM bagi mengelak penularan virus berkenaan di ibu pejabatnya.