Covid-19: KP Kesihatan nafi gesa orang awam jauhi kawasan Pantai, Bangsar

Seorang pakar Hospital Pantai Kuala Lumpur diuji negatif Covid-19. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini berkata beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan kepada orang ramai supaya menjauhi kawasan Pantai dan Bangsar dalam tempoh 10 hari akan datang kerana jangkitan Covid-19 seperti yang tular menerusi media sosial.

Beliau berkata laporan Bernama yang menyatakan seolah-olah Noor Hisham yang mengeluarkan nasihat sedemikian adalah tidak tepat.

Perenggan tidak tepat dalam berita berkenaan dimasukkan dalam laporan berita yang memetik kenyataan Noor Hisham memuji tindakan segera pakar perunding kardiologi Hospital Pantai Kuala Lumpur Dr Sanjiv Joshi, yang secara suka rela menjarakkan dirinya dari hospital, klinik dan keluarganya selama 14 hari.

Sanjiv diuji negatif bagi Covid-19, namun beliau terus kuarantin dirinya semasa tempoh inkubasi kerana “mencegah lebih baik daripada mengubati”.

“Dr Sanjiv merawat kes 29 (wanita berusia 35 tahun yang berkongsi bilik dengan kes 24) yang kemudiannya diuji positif Covid-19. Dr Sanjiv kemudian sukarela menjarakkan dirinya bagi tempoh 14 hari (daripada orang awam), saya berharap semua kontak rapat beliau akan mencontohi tindakan beliau untuk melakukan apa yang betul,” kata Noor Hisham menerusi catatan Facebook rasminya malam tadi.