Dr M sangkal krisis politik bermula apabila beliau letak jawatan PM

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sangkal dakwaan mengatakan krisis politik bermula apabila beliau meletakkan jawatan perdana menteri pada 24 Feb lepas.

Mahathir di blognya mengajukan soalannya, benarkah tiba-tiba tanpa sebab beliau letak jawatan.

“Saya yang kononnya disokong oleh parti kerajaan dan parti lawan, termasuk Najib Razak dan beberapa lagi yang sedang dibicara atas tuduhan rasuah menyokong saya? Ini tidak masuk akal,” katanya hari ini.

Mahathir berkata yang benar ialah beliau letak jawatan kerana dalam pengakuan di hadapan Agong, “saya tidak dapat sokongan dari penyokong saya”.

“Saya tidak dapat majoriti,” katanya, dan menambah itu menyebabkan dia tidak layak jadi perdana menteri.

Mahathir mengingatkan tentang cadangan kerajaan nasional yang membolehkan orang yang berpengetahuan menyertai kerajaan tanpa tertakluk kepada agenda parti masing-masing.

“Tetapi cadangan saya ditolak. Saya pun letak jawatan. Dan berlarutanlah krisis ini. Saya tidak tahu bila ia akan tamat,” katanya.