Gunung Merapi meletus, muntahkan awan debu besar

Gunung Merapi terletak berhampiran Yogyakarta. (Gambar AP)

SOLO: Gunung berapi paling aktif di Indonesia, Gunung Merapi meletus pada Selasa, memuntahkan awan debu yang besar kira-kira 6,000m ke udara yang melanda penduduk berhampiran dengan habuk kelabu dan memaksa penutupan lapangan terbang.

Debu yang bercampur dengan pasir menghujani bandar-bandar sejauh 10km dari kawah, berhampiran ibu kota kebudayaan Indonesia di Yogyakarta.

“Terdapat bunyi guruh selama sekurang-kurangnya 5 minit dan saya dapat melihat awan debu dari rumah saya,” kata Jarmaji, penduduk Boyolali kepada AFP.

Pihak berkuasa tidak menaikkan status amaran gunung berapi, namun mereka menutup sementara lapangan terbang antarabangsa di bandar Solo – juga dikenali sebagai Surakarta – kira-kira 40km dari gunung berapi itu, selepas letusan pagi tadi.

Agensi gunung berapi Indonesia memberi amaran kepada penduduk untuk keluar dari zon larangan mendekati sejauh 3km di sekitar Gunung Merapi, mengatakan kemungkinan bahaya dari aliran lava dan piroklastik.

Letusan besar Gunung Merapi pada 2010 membunuh lebih 300 orang dan memaksa pemindahan 280,000 penduduk.

Ia adalah letusan paling kuat Merapi sejak 1930, yang membunuh kira-kira 1,300 orang, manakala letupan lain pada 1994 mengorbankan kira-kira 60 nyawa.

Negara Asia Tenggara – gugusan kepulauan yang mempunyai lebih 17,000 pulau dan pulau kecil – mempunyai hampir 130 gunung berapi aktif.

Ia terletak di lingkaran api Pasifik di mana pelanggaran plat tektonik menyebabkan gempa bumi kerap berlaku, selain aktiviti gunung berapi.