Hadi gelar Dr M negarawan dunia yang sentiasa dikenang

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

PETALING JAYA: Sikap ditunjukkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang mengawal keadaan dan keharmonian negara sejak pilihan raya umum lalu wajar dijadikan contoh negarawan dunia, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Hadi berkata Mahathir merupakan pemimpin yang berjasa kepada negara dan tidak sewajarnya beliau dijadikan korban “kambing hitam” segelintir pemimpin gila jawatan.

“Langkah Mahathir sejak mengambil alih pentadbiran menangani kerajaan dan pembangkang sejak PRU14, menanggung tugas mengawal keadaan sehingga selesai dengan aman, menolak dan menyingkirkan yang keruh dengan daya upaya dalam usianya tanpa huru hara.

“Ia adalah contoh seorang negarawan dunia terkini yang akan disimpan dan sentiasa dikenang dalam lipatan sejarah,” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.

Tanpa merujuk mana-mana pihak, Hadi berkata semua pihak ada yang bersalah dan setiap kesalahan boleh dimaafkan dan wajar diberikan peluang untuk bertaubat.

“Ada yang berdosa kecil boleh dimaafkan dan diampunkan. Ada yang berdosa besar diberi peluang untuk bertaubat. Kita melaksanakan teladan yang ditunjukkan Rasulullah ketika kemenangan Fathu Makkah yang sangat berbeza dengan kemenangan revolusi di negara Barat dan komunis,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada rakyat di Sabah dan Sarawak kerana dapat menahan sabar dalam krisis melibatkan pemimpin, yang dimulakan pemimpin politik dari Semenanjung.

“Sekalung terima kasih kepada Sabah dan Sarawak, para pemimpin dan rakyatnya yang berada dalam jasad Malaysia menahan kesakitan kerana penyakit yang menjangkiti mereka, namun mereka menjadi sebab sehingga negara bersatu walaupun dipisahkan lautan luas.

“Paling susah juga bagi Sabah dan Sarawak, walaupun tidak menjadi penyebab berlakunya krisis yang dimulakan pemimpin politik dari Semenanjung, oleh kerana mereka menjadi kepala kepada jasad negara Malaysia ini, pasti masalah yang timbul menjadi bebanan kepada semua,” katanya.

Jelasnya, dalam krisis kepimpinan politik yang berlarutan sebelum ini, Muhyiddin Yassin yang dipilih sebagai perdana menteri ke-8 mendapat kepercayaan untuk menerajui kepimpinan negara tanpa melobi dan berkempen untuk dirinya sendiri.

“Kami mengambil langkah menyatukan umat Melayu Islam daripada bawah dengan mengadakan Muafakat Nasional. Mahathir dan kalangan ilmuwan juga sebelum ini mengadakan Kongres Maruah Melayu.

“Kami mengumpulkan yang berpecah sehingga menghasilkan gabungan Perikatan Nasional mengambil alih bersama kerajaan yang terpaksa diselamatkan,” katanya.