Hampir RM100 juta dimasuk ke akaun yayasan milik Zahid, kata saksi

Wang berjumlah RM99,532,364.25 dimasukkan ke akaun Tetuan Lewis & Co yang merupakan pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik Ahmad Zahid Hamidi pada Mei 2016 hingga April 2018.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu hampir RM100 juta dimasukkan ke akaun Tetuan Lewis & Co yang merupakan pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi pada Mei 2016 hingga April 2018.

Pengurus Maybank cawangan Dataran Maybank, Leong Siew Kong, 56, berkata berdasarkan penyata kewangan Tetuan Lewis & Co, terdapat kemasukan berjumlah RM99,532,364.25 ke akaun itu menerusi 129 transaksi.

“Sebanyak 112 daripada 129 transaksi itu melalui cek, manakala selebihnya menerusi kredit,” katanya ketika membaca pernyataan saksi pada pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aishah Maulat Ahmad Zakiuddin.

Beliau berkata demikian pada hari ke-19 perbicaraan kes Zahid, 67, yang berdepan 12 pertuduhan pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi, 8 pertuduhan rasuah berhubung pemberian kontrak pembekalan cip pasport kepada beberapa syarikat dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi, saksi pendakwaan ke-39 itu berkata, transaksi keluar masuk wang membabitkan Tetuan Lewis & Co adalah transaksi biasa dan tidak mencetuskan “red flag” di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Leong bersetuju dengan Sazilee tidak ada jumlah mencurigakan dan boleh mencetuskan “red flag” Amla dalam transaksi keluar masuk wang daripada akaun Tetuan Lewis & Co.

Saksi itu berkata, semua transaksi sama ada daripada akaun semasa atau simpanan tetap pelanggan adalah transaksi biasa mengikut syarat ditetapkan bank.

“Untuk semua akaun, mesti ada surat aku janji. Jika tidak ada surat ini, tidak boleh buka akaun kerana itu merupakan prosedur,” katanya.

Perbicaraan di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Jumaat ini.