Jawatan Kabinet bukan keutamaan GPS, kata KM Sarawak

Abang Johari Openg berkata, GPS akan ‘meneliti’ sebarang tawaran jawatan dalam Kabinet persekutuan.

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg berkata, jawatan dalam Kabinet persekutuan yang baru bukan keutamaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), tetapi beliau akan “meneliti” sebarang tawaran.

“Tetapi ini tak berapa penting. (Kepentingan) negara didahulukan,” katanya selepas merasmikan sebuah forum mengenai keharmonian antara agama peringkat negeri di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Whip GPS, Fadillah Yusof berkata, parti itu menyerahkan kepada Abang Johari untuk menentukan sama ada Sarawak perlu mempunyai jawatan kementerian dalam kerajaan persekutuan baru.

Katanya, pemimpin parti itu tidak membincangkan perkara itu kerana mereka lebih bimbangkan kepentingan negara dan hak negeri.

Bagaimanapun, Fadilah berkata, beliau pasti GPS tidak akan bergabung dengan Perikatan Nasional.

“GPS akan kekal sebagai entiti politik tempatan yang tidak bergabung dengan mana-mana gabungan.”

Ahad lalu, Adun Muara Tuang, Idris Buang dilaporkan berkata, GPS patut ditawarkan jawatan dalam Kabinet persekutuan, walaupun ia bukan sebahagian daripada Perikatan Nasional.

Katanya, GPS patut menyertai kerajaan persekutuan atas merit sendiri untuk membantu menstabilkan negara dan memanfaatkan kewujudan gabungan itu bagi memperjuangkan matlamat serta agenda Sarawak.