Muhyiddin ada majoriti di Dewan Rakyat, kata Najib

Bekas perdana menteri, Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Najib Razak menyuarakan keyakinannya hari ini bahawa bekas timbalannya, Muhyiddin Yassin, mempunyai majoriti di Dewan Rakyat untuk memperoleh undi percaya.

“Kami percaya kami mempunyai angka, tetapi saya fikir fokus sekarang adalah memastikan ekonomi berada dalam keadaan baik dan untuk memulihkan keyakinan,” katanya ketika ditemui di luar di mahkamah.

Beliau menambah Muhyiddin harus diberi peluang untuk menyempurnakan tugasnya sebagai perdana menteri.

“Kita semua harus memberinya peluang untuk melaksanakan dan menyempurnakan tugas.

“Saya tahu tanggungjawabnya sangat besar dan cabarannya amat berat,” katanya ketika ditanya mengenai ucapan sulung Muhyiddin, malam tadi.

Muhyiddin meminta rakyat memberi sokongan penuh dalam melaksanakan “tanggungjawab berat” itu. Beliau juga berkata kerajaannya akan terus memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa, dan berjanji untuk memperbaiki sistem penjagaan kesihatan negara.

Muhyiddin dinamakan perdana menteri selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menemubual semua 222 ahli Parlimen dan berunding dengan pemimpin parti.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Pakatan Harapan, yang kini bergelar pembangkang, akan menggesa persidangan Dewan Rakyat dipercepatkan bagi menentukan siapa yang mempunyai majoriti.

Mahathir mempertikai Muhyiddin mendapat sokongan penuh dari semua ahli Parlimen PPBM, kerana 6 wakil, termasuk dirinya dan anaknya Mukhriz Mahathir, tidak menyokong Muhyiddin.