Persatuan rayu kerajaan baru dengar masalah pemandu teksi

Persatuan pemandu teksi mendakwa mereka diabaikan kerajan PH.

PETALING JAYA: Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) berharap kerajaan baru sedia membuka pintu rundingan termasuk mendengar dan memahami sendiri masalah yang dihadapi mereka sekian lama.

Presiden Kamarudin Mohd Hussain berkata persatuan teksi sepatutnya mendapat hak kesamarataan walaupun tidak pernah menuntut e-hailing diharamkan.

“Kami hanya menuntut hak kesamarataan berlandaskan dasar ‘rule of law, tetapi malangnya tuntutan kami dimanipulasikan dan kami dianggap seperti musuh oleh Kementerian Pengangkutan kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya kepada FMT.

Ahad lalu, Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-8 di hadapan Yang di-Petuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, di Istana Negara.

Istiadat angkat sumpah berkenaan menamatkan kemelut politik yang melanda negara sejak 22 Feb lalu.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata walaupun pembentukan kerajaan baru ini tanpa sebarang manifesto, namun persatuan teksi berharap kerajaan ini akan membawa nafas baru kepada Malaysia.

“Sehubungan dengan itu, kami berharap peralihan kuasa yang berlaku baru-baru ini bukanlah satu kehancuran, sebaliknya ia membawa sejuta kebaikan kepada rakyat Malaysia khususnya kepada kami, warga teksi yang sekian lama hidup dalam merana diabaikan kerajaan PH,” katanya.