PH kritik polis siasat himpunan di Dataran Merdeka

Perhimpunan diadakan di Dataran Merdeka pada Ahad lalu, susulan pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri ke-8 selepas krisis politik yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PH.

PETALING JAYA: Pakatan Harapan mengkritik siasatan pihak berkuasa ke atas peserta sebuah perhimpunan pada Ahad lalu yang bertentangan nilai yang cuba pupuk gabungan itu ketika menjadi kerajaan persekutuan.

Perhimpunan di Dataran Merdeka itu dihadiri aktivis sosial Marina Mahathir dan S Ambiga, susulan pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri ke-8 selepas krisis politik yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PH.

PH dalam kenyataan hari ini berkata, pihak berkuasa dilihat tangkas bertindak selepas kerajaan baru ditubuhkan di Putrajaya.

“Ini amat dikesalkan. PH menegaskan rakyat Malaysia mempunyai hak demokratik untuk berhimpun dan menyatakan bantahan mereka, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada.”

Gabungan itu turut meminta pihak berkuasa bertindak dalam cara yang tidak menjejaskan hak demokratik rakyat dan mengelakkan persepsi ia mengganggu aktivis terbabit.

Semalam, polis dilaporkan berkata, mereka membuka kertas siasatan berhubung perhimpunan itu dan Marina bersama beberapa aktivis lain dijangka disoal siasat esok.

Hari ini, bekas menteri hal ehwal ekonomi, Azmin Ali turut mengkritik tindakan polis terhadap peserta perhimpunan itu.

Beliau berkata, hak mengadakan protes aman termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan perbezaan pandangan adalah asas kepada “demokrasi yang bertenaga dan sihat”.