PKR, DAP Melaka label 2 Adun sokong kerajaan baru ialah pengkhianat

Muhammad Jailani Khamis (kiri) mendakwa kerajaan PH gagal memainkan peranan dalam memperbaiki kehidupan rakyat selepas memenangi PRU14, manakala Norhizam Hassan Baktee pula mendakwa dirinya menjadi ‘barua’ sepanjang 22 bulan pentadbiran PH.

PETALING JAYA: PKR dan DAP Melaka melabelkan 2 adunnya yang menyokong gabungan baru selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya tumbang sebagai pengkhianat.

Dua wakil rakyat itu ialah Adun Rembia, Muhammad Jailani Khamis daripada PKR dan Adun Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee yang juga timbalan pengerusi DAP Melaka.

Pengerusi PKR Melaka, Abdul Halim Bachik berkata, keputusan Jailani menyokong Perikatan Nasional akan dibawa ke mesyuarat Lembaga Disiplin dan tindakan akan diambil terhadapnya dalam masa terdekat.

“Dari segi logik, kalau sudah sokong parti lain, tubuh kerajaan lain, maknanya dia sudah keluar parti. Kalau dia sudah runtuhkan kerajaan yang dia sokong pada awal, pada saya dia sudah isytihar (keluar) parti,” katanya dalam sidang media hari ini.

Semalam, Jailani dilaporkan berkata, beliau menyokong Perikatan Nasional kerana kecewa dengan kerajaan PH berusia 22 bulan yang didakwanya gagal memainkan peranan dalam memperbaiki kehidupan rakyat selepas mendapat mandat pada pilihan raya umum lalu.

Norhizam pula berkata, keputusan itu dibuat demi kepentingan orang Melayu.

Hari ini, Halim berkata, tindakan Jailani juga memberi gambaran beliau mahu parti mengambil tindakan terhadapnya kerana “dalam PKR, bila seseorang wakil rakyat atau ahli Parlimen keluar dari parti, kena bayar RM10 juta, tetapi kalau dia dipecat, tidak perlu bayar”.

Sementara itu, Pengerusi DAP Melaka, Tey Kok Kiew mengakui terkesan dengan tindakan Norhizam menyokong Perikatan Nasional.

“Saya antara yang paling sakit, saya tidak tahu apa sebabnya dia bertindak sedemikian, walau apa-apa pun, tindakannya itu sudah mengkhianati mandat rakyat dan itu tidak boleh dibenarkan. Ketika kita rajin meningkatkan kebajikan rakyat, ada di antara mereka yang gunakan pintu belakang.”

Terdahulu, bekas ketua menteri Melaka, Adly Zahari turut menempelak Norhizam yang mendakwa dirinya menjadi “barua” sepanjang 22 bulan pentadbiran PH.

“Itu alasan untuk menghalalkan tindakan beliau. Khianati mandat rakyat dan akan dimusuhi rakyat, ia hanyalah satu alasan. Ia kenyataan tidak bertanggungjawab dan hanya untuk tutup kelemahan.”

Semalam, Yang di-Pertua Melaka, Mohd Khalil Yaakob menolak permohonan Adly untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri untuk mengadakan pilihan raya negeri.

Setiausaha Kerajaan Melaka, Hasim Hasan dilaporkan berkata, berdasarkan perlembagaan negeri, ketua menteri perlu meletak jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Yang di-Pertua akan melantik Adun mendapat kepercayaan majoriti Adun sebagai ketua menteri baru dalam masa terdekat.

BN Melaka kini menguasai 13 kerusi, tetapi susulan sokongan daripada Jailani, Norhizam serta 2 Adun PPBM, Mohd Rafiq Naizamohideen (Paya Rumput) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas), ia kini mempunyai 17 daripada 28 kerusi DUN.