Saksi yakin Khairy 100% di sebalik kehilangan Joshua

Selvakumar Peace John Harris berkata, beliau hanya melihat e-mel yang didakwa dihantar Khairy Jamaluddin melalui komputer riba dan telefon bimbit Joshua Hilmy ketika pertemuan mereka di rumahnya pada Mei 2016.

KUALA LUMPUR: Saksi ke-5 dalam inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyiasat kehilangan pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu berkata, beliau tiada bukti, tetapi hanya melihat e-mel yang didakwa dihantar Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Selvakumar Peace John Harris yang bekerja sebagai jurutera bagaimanapun yakin Khairy 100% di sebalik kehilangan Joshua dan isterinya.

“Saya tiada salinan e-mel itu sebab saya hanya lihat melalui komputer riba dan telefon bimbit Joshua pada Mei 2016, apabila dia berjumpa saya di rumah saya.

“Saya tahu dia (Khairy) dalam kerajaan (ketika itu), jadi polis tak boleh nak siasat.

“Khairy di sebalik kehilangan ini, 100% yakin KJ di sebalik ini,” katanya pada hari ke-3 inkuiri awam hari ini ketika ditanya penel Suhakam kenapa beliau tidak membuat laporan polis selepas melihat e-mel itu.

Semalam, sebuah portal melaporkan Selvakumar mendakwa Khairy “memberi amaran” kepada Joshua “lebih baik kamu tinggalkan negara”, susulan aktiviti pembaptisan paderi itu kepada beberapa pasangan Melayu beragama Islam pada 2015.

Selvakumar ialah pemilik rumah di Kampung Tunku, Petaling Jaya yang pernah didiami Joshua dan Ruth.

Bagaimanapun, Khairy menerusi catatan di Facebooknya semalam menafikan tuduhan itu dan berkata beliau tidak mengenali Joshua, Ruth dan Selvakumar secara peribadi.

Bekas menteri belia dan sukan itu juga menafikan pernah menghantar e-mel itu atau apa-apa berhubungnya menerusi mana-mana medium komunikasi.

Hari ini, Selvakumar berkata, beliau tiada salinan e-mel dan tangkap layar e-mel yang didakwa dihantar Khairy kepada Joshua.

Katanya, penafian Khairy berhubung e-mel itu menunjukkan beliau di sebalik kehilangan Joshua dan isterinya.

“Saya sangat pasti dia (Khairy) yang hantar emel itu. Dia tidak perlu nafikannya,” kata Selvakumar sambil menambah kenyataannya itu tidak ada niat atau perasaan marah terhadap Khairy.

Inkuiri awam itu dipengerusikan Pesuruhjaya Suhakam, Hishamudin Yunus dan dibantu Pesuruhjaya Jerald Joseph serta Madeline Berma. Ia dijangka berlangsung selama 14 hari sehingga 29 April nanti.

Ruth yang merupakan warga Indonesia diwakili peguam Philip Koh. Dua adiknya yang datang dari Indonesia turut menghadiri inkuiri hari ini.

Joshua dan Ruth berkahwin pada Oktober 2004 dan kali terakhir mereka dilihat 30 Nov 2016.

Sebelum ini, Suhakam turut mengadakan inkuiri awam berhubung kehilangan pastor Raymond Koh dan aktivis dari Perlis, Amri Che Mat yang merumuskan 2 lelaki itu ialah mangsa kehilangan paksa.