Saya tak minta Najib buka akaun bank, Jho Low beritahu SPRM

Low Taek Jho berkata, Najib Razak pernah meminta pandangannya mengenai SRC International dan 1MDB.

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Low Taek Jho memberitahu pihak berkuasa, beliau tidak mencadangkan Najib Razak membuka sebarang akaun dengan Ambank.

Dalam satu pernyataan saksi bertarikh 27 Nov 2015, Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low, berkata beliau tidak tahu berapa banyak akaun Najib di bank berkenaan ketika itu.

“Saya tidak tahu Nik Faisal (Ariff Kamil) ialah orang yang diberikan kuasa untuk menguruskan akaunnya,” katanya kepada pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ting Ing Ping yang merekodkan keterangannya di Hotel Rosewood, Abu Dhabi.

Keterangan itu diserahkan peguam Najib, Farhan Read di Mahkamah Tinggi hari ini yang mendengar perbicaraan rasuah bekas perdana menteri itu berhubung SRC International.

Nik Faisal ialah ketua pegawai eksekutif SRC International ketika itu.

Low menafikan beliau mencadangkan Nik Faisal sebagai orang yang menguruskan akaun Najib.

Ahli perniagaan Pulau Pinang itu berkata, beliau mengenali bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu kerana beliau menguruskan transaksi akaun Utama Banking Group (UBG).

Low berkata, beliau ialah penasihat dan pengerusi bukan eksekutif UBG.

Ditanya mengenai perbualan dalam BlackBerry Messenger (BBM) antara beliau dan Yu berhubung status akaun Najib, Low mendakwa beliau tidak tahu kandungan mesej itu.

“Seingat saya, saya tidak ingat perbualan sedemikian dan saya juga tidak memahami kandungan mesej itu,” katanya merujuk respons kepada perbualan yang dicatatkan antara 2014 hingga 2015.

Yu memberi keterangan pada peringkat pendakwaan yang Low ialah orang hubungan untuk akaun Najib jika beliau tidak dapat menghubungi Nik Faisal.

Bekas pengarah urusan Ambank, Cheah Tek Kuang dalam keterangannya berkata, Low memperkenalkan beliau kepada Najib beberapa kali pada Januari 2011 di rumah bekas perdana menteri itu di Langgak Duta untuk tujuan pembukaan akaun bank.

Ditanya peranannya dalam SRC International, Low berkata, beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam syarikat milik kerajaan “kecuali untuk transaksi perniagaan berpotensi, tetapi ia tiada kaitan rapat”.

“Saya bukan pengarah, pemegang saham atau penasihat SRC, dan tiada ahli keluarga saya yang dilantik ke jawatan itu. Saya tidak mengesyorkan Nik Faisal sebagai CEO.”

Low berkata, Najib pernah meminta pandangannya mengenai SRC International dan 1MDB.

“Seperti rakyat Malaysia lain, saya akan beri pandangan saya, tetapi saya bukan pihak berkuasa yang membuat keputusan.”

Mengenai 1MDB, Low memberitahu SPRM, beliau tiada hubungan perniagaan dengan syarikat itu dan sekadar menjadi penasihat Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA), yang kemudiannya dinamakan 1MDB.

“Saya tidak dibayar sebagai penasihat TIA atau Sultan Mizan Zainal Abidin,” katanya.

Low dan Nik Faisal dikehendaki pihak berkuasa atas dakwaan pengubahan wang dan pecah amanah, dengan notis merah sudah dikeluarkan untuk penahanan mereka.

Pegawai penyiasat SPRM, Rosli Husain memberitahu mahkamah yang Low meninggalkan negara pada 29 Mei 2015 dan Nik Faisal pada 7 Mei 2018.