Sekutu Anwar di Sarawak Larry Sng nafi sokong Muhyiddin

Larry Sng menafikan bapanya, Chee Hua mengadakan rundingan dengan BN. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Julau, Larry Sng yang merupakan sekutu rapat Presiden PKR, Anwar Ibrahim, menafikan beliau dan bapanya, Chee Hua menyokong Muhyiddin Yassin.

Larry berkata, mesej viral yang mendakwa beliau dan bapanya keluar daripada PKR untuk menyokong Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin adalah “palsu”.

Mesej itu mendakwa Chee Hua mengadakan rundingan secara rahsia dengan Barisan Nasional selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Isnin minggu lalu.

Menurut mesej itu, Chee Hua dikatakan sedang berunding untuk mendapatkan jawatan kanan Kabinet bagi anaknya dalam kerajaan baru.

Tetapi, katanya, satu-satunya halangan ialah tiada parti berbilang kaum dalam Perikatan Nasional yang Larry, ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR itu boleh sertai.

Pilihannya ialah menjadi ahli sekutu PPBM seperti Ahli Parlimen Segamat, Santhara Kumar.

“Ia (mesej viral) rekaan. Pendirian saya ialah saya akan menurut perintah parti. Saya bersama PKR. Apa saja arahan parti, saya akan patuhi,” Larry beritahu FMT.

Katanya, beliau berhubung dengan bapanya pagi tadi dan tiada petunjuk bapanya mengadakan rundingan dengan BN untuk menyertai gabungan baru.

Bagaimanapun, seorang ahli Parlimen dalam kumpulan Muhyiddin memberitahu FMT, rundingan diadakan melalui pelbagai saluran, termasuk BN untuk mendapatkan sokongan anak-beranak itu.

Ketika ini, hanya ada 2 ahli Parlimen Cina dalam gabungan baru Muhyiddin. Difahamkan, gabungan itu sedang meneliti beberapa ahli Parlimen Cina yang mungkin dilantik ke Kabinet untuk memberi gambaran berbilang bangsa.

Larry, 41, pernah menyertai 4 parti politik – Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Pekerja Sarawak (SWP) dan PKR – dan bertanding sebagai calon bebas sebanyak 2 kali.

SWP ditubuhkan Chee Hua pada 2012 selepas Larry disingkirkan daripada PRS.