Sekutu Jho Low sedia keterangan sebelum temui SPRM, kata saksi

Pegawai penyiasat SPRM, Mohd Nasharudin Amir. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu perbicaraan Najib Razak membabitkan SRC International hari ini, seorang sekutu ahli perniagaan Low Taek Jho menyediakan keterangannya sendiri sebelum disoal siasat pihak berkuasa di Riyadh, Arab Saudi 5 tahun lalu.

Pegawai penyiasat SPRM, Mohd Nasharudin Amir berkata, beliau dan rakan sekerjanya, Mohd Hafaz Nazar, hanya menghabiskan 25 minit dengan Tan Kim Loong di “Istana Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud” pada 29 Nov 2015.

Sepasukan 5 pegawai SPRM terbang ke Arab Saudi untuk menemui “Putera Saud Abdulaziz Al-Saud” dalam siasatan ke atas kes “sumbangan” RM2.6 bilion bekas perdana menteri itu.

Nasharudin berkata, SPRM kemudian “salin dan tampal” keterangan disediakan Tan ke atas keterangan saksi tanpa sebarang peluang bertanya soalan lanjut kepadanya.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya ad hoc, V Sithambaram sama ada beliau tahu Tan yang mendraf keterangannya sendiri, Nasharudin berkata, beliau tidak tahu.

Beliau turut memberitahu mahkamah notis merah dikeluarkan untuk menjejaki Tan dan Jho Low pada 7 Dis 2018.

“Dinyatakan dalam notis merah itu yang Eric (Tan) menjadi proksi Low dalam beberapa transaksi kewangan.

“Lokasi terakhir mereka yang diketahui ialah di Kelab Ahli Keluarga Maggie dan Rose di Hong Kong.”

Ditanya Sithambaram sama ada peguam dari Malaysia, Selva Mookiah, hadir ketika pegawai SPRM mengambil keterangan Tan, Nasharudin menjawab ya.

“Saya tidak tahu apa tugasnya pada hari itu. Saya hanya tahu beliau ialah seorang peguam.”

Rakan setugasnya dari SPRM, Azhari Karim dan Ting Ing Ping turut memberi keterangan hari ini.

Azhari memberitahu mahkamah, beliau mengambil satu keterangan daripada bekas pengarah eksekutif Kumpulan Putrajaya Perdana Bhd, Jerome Lee pada 22 Julai 2015 di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Ting pula berkata, SPRM menemui Jho Low di Hotel Rosewood di Abu Dhabi pada 27 Nov 2015, di mana beliau merekodkan keterangan ahli perniagaan itu.

Perbicaraan diteruskan di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, esok.

Najib berdepan 6 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta dana SRC International ke akaun peribadinya.

Beliau turut dituduh menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman SRC International sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).