Trump kata ‘sangat selamat’ adakan perhimpunan ketika Covid-19 menular

Presiden AS, Donald Trump. (Gambar AP)

WASHINGTON: Presiden AS Donald Trump menegaskan pada Isnin bahawa perhimpunan kempen tidak merisikokan penyokongnya terkena atau menyebarkan Covid-19, dan menegaskan negara itu bersedia untuk penyakit tersebut.

“Saya fikir ia sangat selamat” untuk terus mengadakan perhimpunan kerap di seluruh negara,” kata Trump.

“Anda boleh bertanya kepada Demokrat kerana mereka mengadakan banyak perhimpunan,” kata Trump, yang berkempen untuk penggal kedua bagi pilihan raya pada November ini.

Hartawan hartanah itu dijangka mengadakan satu lagi perhimpunan di North Carolina pada Isnin, selepas pertemuan dengan ketua-ketua syarikat farmaseutikal besar bagi membincangkan usaha membendung virus itu.

“Kami meminta mereka mempercepatkan apa yang mereka lakukan dari segi vaksin,” kata Trump.

Amerika Syarikat mengumumkan 2 kematian pertama hujung minggu lalu di Seattle, Washington, yang merupakan kawasan paling teruk terjejas akibat Covid-19.

New York mengumumkan kes pertama iaitu pekerja penjagaan kesihatan berusia 39 tahun yang kembali dari Iran baru-baru ini.

“Secara umumnya, tidak ada keraguan terdapat lebih banyak kes di mana kita dapati orang yang diuji positif,” kata Gabenor Andrew Cuomo.

“Ini adalah New York, kami adalah pintu masuk kepada dunia.”

Namun, katanya “tidak ada sebab untuk kebimbangan yang tidak wajar – risiko masih rendah di New York”.