Umno cadang akhir Mei, awal Jun tarikh paling sesuai sidang Dewan Rakyat

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Umno Annuar Musa mencadangkan tarikh persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama Penggal Ke-3 Parlimen Ke-14 iaitu pada akhir Mei atau awal Jun, susulan timbul spekulasi sidang itu akan ditangguhkan.

Annuar berkata, tarikh itu merupakan masa yang paling sesuai kerana sebarang notis, tempoh kemukakan soalan dan edaran soalan kepada kementerian untuk mendapatkan jawapan memerlukan masa.

“Perlu dan wajib bersidang sebelum 5 Jun ini, mengambil kira pelbagai faktor termasuk puasa dan hari raya, akhir Mei atau awal Jun adalah paling sesuai.

“Notis tempoh kemuka soalan, edaran soalan kepada kementerian untuk jawapan perlu masa,” katanya di Twitter.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata demikian mengulas laporan FMT yang memetik kenyataan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof, bahawa pihaknya masih menunggu jawapan balas daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi mendapatkan penetapan tarikh baru persidangan.

Persidangan Dewan Rakyat lepas ditangguhkan pada 5 Dis 2019, sementara sidang kali ini dijadualkan bermula pada 9 Mac ini.

Bagaimanapun, media melaporkan terdapat spekulasi bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mungkin cuba menangguhkan sidang sehingga beliau dapat mengukuhkan kedudukannya dengan memastikan kerajaan memiliki majoriti selesa di Dewan Rakyat.

Ini selepas Pakatan Harapan (PH) mendakwa mempunyai sokongan 114 ahli Parlimen, iaitu majoriti tipis daripada 222 kerusi dewan.

Annuar pada masa sama menyeru ahli dan pimpinan Muafakat Nasional di setiap peringkat tidak terlalu gembira dengan suasana politik hari ini sehingga hilang fokus dalam mengutamakan kebajikan rakyat.

“Jangan tiru Pakatan Harapan yang dulunya menjadi ego dan sombong dengan kuasa, menuduh dan menghina dengan sewenang-wenangnya. Guna kuasa untuk kezaliman, memungkiri janji dengan rakyat. Muafakat Nasional perlu terus murni.

“Dahulukan rakyat, perbaiki kesilapan, usah mengejar jawatan dan tinggalkan asas perjuangan. Tumpu pada agenda dan piagam Muafakat Nasional. Negara perlukan penyelesaian mutlak, kita belum ke mana-mana, kekalkan keamanan dan kestabilan,” katanya.