4 destinasi popular ditutup bimbang penularan Covid-19

(Gambar Pinterest)

Penularan Covid-19 menunjukkan peningkatan di seluruh dunia.

Malah baru-baru ini turut dilaporkan di Indonesia sudah ada 2 kes pertama positif Covid-19, menjadikan mereka negara ke-65 terlibat dengan jangkitan wabak berbahaya ini.

Kebimbangan ini sekaligus menyebabkan banyak tempat pelancongan seluruh dunia menutup operasi mereka buat sementara waktu.

Tindakan ini demi mengurangkan jangkitan virus itu kepada orang ramai.

Menurut CNN Travel, berikut merupakan beberapa tempat pelancongan yang mula ditutup buat pengunjung di seluruh dunia.

1. Gyeongbokgung Palace, Korea Selatan

Istana ini selalu menjadi tumpuan rakyat Malaysia apabila ke Korea.

Dan sesiapa yang hendak berkunjung ke sini perlu menggunakan tourist guide dan difahamkan perkhidmatan itu turut dihentikan.

Bagaimanapun sesiapa yang berkunjung ke Korea dalam masa terdekat boleh ke istana itu sendiri kerana ia tidak ditutup sepenuhnya.

2. Disneyland

(Gambar Japan Info)

Disneyland tidak pernah lengang dengan pengunjung.

Ini kerana permainan yang terdapat disitu sentiasa sesak dengan mereka yang beratur panjang.

Namun buat masa ini, taman tema popular keluarga ini telah ditutup buat sementara waktu.

Antara Disneyland yang ditutup buat masa sekarang ialah Disneyland Hong Kong, Disneyland Shanghai, Disneyland Tokyo dan Disneysea Tokyo.

Disneyland Hong Kong belum menetapkan lagi tarikh pembukaan semula taman ini manakala Disneyland dan Disneysea Tokyo pula akan dibuka semula pada 16 Mac nanti.

Disneyland Shanghai pula sudah ditutup pada 24 Januari lalu sehingga diberitahu kelak.

3. Muzium Louvre, Paris

(Gambar Metro.co.uk)

Muzium The Louvre di Paris terpaksa ditutup kerana kebimbangan kakitangannya dengan penularan Covid-19.

Pelancong daripada pelbagai negara berkunjung ke lokasi terkenal itu untuk melihat gambar lukisan pelukis tersohor dunia Leonardo da Vinci iaitu Mona Lisa.

Kebimbangan ini disuarakan salah seorang kakitangan Louvre dan wakil kesatuan, Andre Sacristin kerana muzium ini dikunjungi pelancong daripada pelbagai negara.

4. Tokyo Sky Tree, Jepun

(Gambar Japan Guide)

Berada pada ketinggian 634 meter, menara yang sering menjadi tumpuan pelancong jika berkunjung ke Jepun mula ditutup pada 1 Mac lalu sehingga 15 Mac ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]