Adik dakwa polis larang lapor kehilangan Joshua, Ruth di Kedutaan Indonesia

Iman Setiawan Sitepu ialah adik bongsu Ruth.

KUALA LUMPUR: Saksi ke-7 dalam inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyiasat kehilangan pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu berkata, beliau diberitahu peguamnya yang polis melarang mereka melaporkan kehilangan pasangan itu kepada Kedutaan Indonesia di sini.

Iman Setiawan Sitepu, 39, adik bongsu Ruth berkata, polis menghubungi peguamnya untuk berbuat demikian selepas beliau dan kakak keduanya, Ram Ram Elisabeth membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya mengenai kehilangan kakak sulung dan abang ipar mereka pada 28 Feb 2018.

“Jangan lapor kepada Kedutaan Indonesia dulu. Biar kami (polis) cari dulu,” demikian kata peguam kepadanya.

Beliau memberi keterangan pada hari ke-4 inkuiri awam di ibu pejabat Suhakam hari ini.

Iman juga mempersoalkan tindakan polis bernama Sarjan Ahmad menghubungi peguamnya supaya tidak membuat laporan kehilangan pasangan itu di Kedutaan Indonesia.

Pada awalnya, beliau menjangkakan polis serius menangani kes kehilangan kakak dan abang iparnya, tetapi kecewa kerana sehingga kini tiada khabar mengenai pasangan itu.

Terdahulu, Ram Ram yang juga saksi ke-6 turut memberi keterangan sama mendakwa peguam tidak membenarkan mereka melaporkan kehilangan pasangan itu di Kedutaan Indonesia.

“Selepas dari situ pengacara (peguam) kami telefon, dia beritahu polis di Malaysia suruh jangan ke kedutaan dahulu, biar mereka (pihak polis) selesaikan isu itu dahulu.

“Namun selepas tunggu 3 tahun tiada khabar,” katanya dalam bahasa Indonesia.

Inkuiri awam ini dipengerusikan Pesuruhjaya Suhakam, Hishamudin Yunus dan dibantu Pesuruhjaya Jerald Joseph serta Madeline Berma. Ia dijangka berlangsung selama 14 hari sehingga 29 April nanti.

Ruth yang merupakan warga Indonesia diwakili peguam Philip Koh. Dua adiknya datang dari Indonesia untuk menghadiri inkuiri awam ini sejak hari pertama prosiding pada 18 Feb lalu.

Joshua dan Ruth berkahwin pada Oktober 2004 dan mereka kali terakhir dilihat 30 Nov 2016.

Sebelum ini, Suhakam turut mengadakan inkuiri awam berhubung kehilangan pastor Raymond Koh dan aktivis dari Perlis, Amri Che Mat yang merumuskan 2 lelaki itu ialah mangsa kehilangan paksa.