Adik percaya Ruth Sitepu hilang secara paksa

KUALA LUMPUR: Adik kepada Ruth Sitepu beritahu siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bahawa dia percaya kehilangan kakaknya, Ruth dan suami, Joshua Hilmy adalah secara paksaan.

Ram Ram Elisabeth Sitepu, 48, berkata Ruth mesti akan menghubungi keluarga sekiranya mahu berpindah.

“Saya yakin, bukan andaian, dia memang hilang secara paksa. Ini kerana kami sering telefon.

“Kalau dia nak pergi pun, dia pasti akan telefon dan beritahu di mana khabar dia. Ini sudah lebih 3 tahun tiada khabar,” kata saksi ke-6 kepada panel Suhakam hari ini.

Ram Ram, seorang warga Indonesia, melaporkan kehilangan Ruth di Balai Polis Petaling Jaya pada 28 Feb 2018 dengan ditemani seorang peguam.

Dia beritahu panel Suhakam bahawa dia ke rumah Ruth di Kampung Tunku, Petaling Jaya pada 27 Feb bersama pemilik rumah.

Dia mendapati rumah Ruth dalam keadaan tidak kemas, dan masih ada banyak makanan dalam peti sejuk namun tak segar.

“Ruth seorang pengemas,” katanya. “Tapi lihat di bilik tidur tak berkemas.”

“Kami lihat baju-baju masih di almari, dan bahan makanan di peti sejuk, perhiasan krismas masih banyak. Tiada siapa yang tinggal.”

Ruth dan suaminya, seorang Melayu yang memeluk agama Kristian, hilang selama lebih 3 tahun. Kali terakhir mereka dilihat adalah pada 30 Nov 2016.

Ram Ram, yang memeluk agama Islam, berkata keluarganya tahu Joshua sudah menukar agama.

Dia menangis di hadapan panel Suhakam ketika menceritakan kehilangan Ruth.

Siasatan awam ini dipengerusikan Pesuruhjaya Hishamudin Yunus yang dibantu Pesuruhjaya Jerald Joseph dan Madeline Berma. Ia dijangka berlangsung selama 14 hari sehingga 29 Apr.

Ruth di siasatan awam diwakili peguam Philip Koh.