Afif Bahardin letak jawatan exco P Pinang

Afif Bahardin.

PETALING JAYA: Adun Seberang Jaya, Afif Bahardin meletak jawatan sebagai exco Pulau Pinang, berkuatkuasa hari ini, namun masih mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri Chow Kon Yeow pada satu sidang media, selepas pertemuan pada 8.15 pagi sebelum Afif menyerahkan surat peletakan jawatannya.

Chow akan memaklumkan perkara itu kepada Yang di-Pertua Pulau Pinang, Abdul Rahman Abbas; Setiausaha Kerajaan Negeri Abdul Razak Jaafar; Penasihat Undang-undang Negeri Norazmi Mohd Narawi dan Pegawai Kewangan Negeri Sarul Bahiyah Abu.

“Peletakan jawatan saya ini selepas perbincangan saya bersama ketua menteri.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ketua menteri, barisan jentera kerajaan negeri dan rakyat Pulau Pinang atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan selama ini,” menurut surat yang diserahkan Afif.

Afif memegang portfolio pertanian dan industri asas tani, pembangunan luar bandar dan kesihatan.

Beliau dikatakan penyokong bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang dikaitkan dengan gerakan dalam membentuk kerajaan baru minggu lalu.

Azmin dan seorang naib presiden, Zuraida Kamaruddin dipecat PKR selepas “pengkhianatan terbuka oleh beberapa watak dalang utama” yang bercanggah dengan pendirian parti dalam perkara berkenaan kedudukan perdana menteri.

Sembilan wakil rakyat PKR meninggalkan PKR tidak lama kemudian.