Baru dapat lesen kereta terus jatuh dalam sungai kerana guna telefon

Inilah padahnya memandu sambil menggunakan telefon pintar.

Tidak tahu sama ada kelakar atau hendak kesian, namun apa yang berlaku terhadap pemandu ini perlu dijadikan pengajaran.

Kejadian berlaku di China apabila seorang lelaki yang baru sahaja mendapat lesen kereta hampir menemui maut apabila kereta yang baru dibelinya jatuh ke dalam sungai.

Berlaku dalam sekelip mata, lelaki yang dikenali sebagai Zhang mendakwa hanya memandang ke telefon pintarnya sebelum keretanya jatuh ke dalam sungai.

“Semasa saya memandu, saya cuba melihat ke telefon saya dan membaca beberapa mesej dan secara tiba-tiba saya terkejut melihat 2 orang berada di hadapan saya di atas jambatan. Saya terus menjadi gementar dan membelok stereng kereta ke kiri, “kata Zhang kepada media tempatan.

Zhang yang tulang bahunya terkeluar bagaimanapun berjaya menyelamatkan dirinya daripada lemas.

“Nasib baik, kereta itu terapung untuk seketika. Saya tidak dapat membuka pintu pemandu jadi saya terpaksa menendang pintu di sisi lain untuk keluar daripada kereta. Jika tidak, saya mungkin tidak berjaya keluar. ”

Menurut media tempatan penduduk tempatan turut menghulurkan bantuan kepada Zhang untuk keluar daripada air dan memberinya beberapa pakaian kering.

Kemudian polis meminta bantuan kren untuk mengangkat kereta tersebut keluar daripada sungai itu.

Menurut South China Morning Post, mereka yang menggunakan telefon ketika memandu boleh didenda maksimum 200 yuan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]