Dakwaan demokrasi ‘sudah mati’ tidak tepat, kata penganalisis

Sebilangan penyokong PH menggunakan 2 huruf Jawi yang membawa maksud mencarut dalam bahasa Inggeris, di sebuah perhimpunan di Kuala Lumpur hujung minggu lalu.

PETALING JAYA: Penganalisis politik berkata dakwaan demokrasi “sudah mati” ekoran berlakunya peralihan kuasa dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional adalah tidak tepat.

Kamarul Zaman Yusof dari Universiti Utara Malaysia berkata apa yang berlaku sebenarnya adalah proses mematangkan lagi demokrasi dan budaya berpolitik di Malaysia.

Kamarul Zaman Yusof.

“Sebelum ini, kita dikejutkan dengan peralihan kuasa kali pertama negara dari Barisan Nasional kepada PH dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Ini bagus dalam konteks mewujudkan lebih banyak pertanggungjawaban kepada kerajaan. Bila rakyat tahu mereka kini berkuasa untuk mengubah kerajaan, dan pemimpin tahu mereka boleh diturunkan, pemimpin akan jadi lebih bersih dan bekerja lebih kuat,” katanya kepada FMT.

Pada 29 Feb lalu, Peguam Hak Asasi Manusia yang dikenali sebagai Fadiah Nadwa Fikri dilaporkan memuat naik kenyataan yang mengajak orang ramai turun ke jalanan sebagai membantah pengkhianatan yang berlaku dalam pemilihan perdana menteri menerusi laman sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed, berkata susulan kenyataan itu, pihak polis akan membuka kertas siasatan terhadap Fadiah.

Peguam itu mengeluarkan kenyataan bertajuk “Turun ke jalan: Demokrasi Mati” dalam akaun Twitter serta mengajak rakyat yang marah untuk berkumpul di Dataran Merdeka.

Ia selepas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memperkenan pelantikan Muhyiddin Yassin yang juga ahli Parlimen Pagoh sebagai perdana menteri ke-8.

Mengulas lanjut, Kamarul berkata perubahan kerajaan pada pertengahan penggal menjadikan perkara ini lebih menarik dengan membawa demokrasi matang maju setapak.

Beliau berkata kerajaan baru yang tidak mempunyai kelebihan suara yang tinggi menjadikan demokrasi lebih hidup.

“Semakin banyak mekanisme semak dan imbang wujud dalam kerajaan bercorak begini.

“Perlu diingat, undi Umno dan PAS dalam PRU14 lebih tinggi berbanding undi PH. Begitu juga trend semasa sokongan rakyat dalam PRK yang menyebelahi mereka.

“Oleh itu, kerajaan baru ini adalah refleksi kepada suara terkini rakyat,” katanya.

Mustafa Ishak.

Sementara itu, Mustafa Ishak dari Universiti Utara Malaysia Kuala Lumpur (UUMKL) berkata selagi Parlimen berfungsi, demokrasi tidak akan mati di Malaysia.

Beliau berkata punca kuasa perdana menteri dan kerajaan adalah Parlimen dalam sistem demokrasi berparlimen.

“Parlimen berfungsi apabila ahli-ahli Parlimen masih boleh jalankan tugas mereka.

“Ini termasuk menyokong seorang ahli Parlimen yang mampu dapat sokongan majoriti untuk bentuk kerajaan dengan jelas dan Yang Di-pertuan Agong akhirnya lantik individu berkenaan sebagai perdana menteri ke-8,” katanya.

Mustafa berkata Muhyiddin selaku perdana menteri membentuk kerajaannya dengan mencadangkan nama ahli-ahli Dewan Rakyat atau Senator Dewan negara untuk dijadikan menteri Kabinet.

“Perdana menteri dan Kabinet dilantik oleh Agong tetapi bertanggungjawab kepada Parlimen.

“Jika pada sidang Parlimen berikutnya nanti undi tidak percaya gagal, maka kerajaan pimpinan Muhyiddin akan kekal sehingga PRU15.

“Jika sebaliknya, maka Parlimen boleh dibubarkan untuk satu PRU yang baru dibuat. Jadi di mana asas untuk mengatakan yang demokrasi sudah mati. Demokrasi masih hidup subur di Malaysia,” katanya.

Azmi Hassan.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata kerajaan baru belum lagi berfungsi dengan sepenuhnya kerana Kabinet belum lagi dibentuk.

Beliau mempersoalkan bagaimana demokrasi sudah mati.

“Jika cara pembentukan kerajaan baru yang dimaksudkan demokrasi dah mati, maka pembentukaan kerajaan tidak melanggari perlembagaan negara.

“Cuma bezanya ada pihak yang tidak berpuas hati kerana kerajaan yang ada hari ini bukanlah seperti yang dipilih ketika PRU14, jadi itu sebabnya dikatakan demokrasi sudah mati,” katanya.

Azmi berkata selama 8 hari kemelut politik berlangsung, yang membuat keputusan hanyalah segelintir pemimpin parti politik dan di sini wakil rakyat yang terdiri dari berbagai ahli politik hanya menurut kehendak parti atau pemimpin mereka.

Katanya, 222 ahli Parlimen terbabit tidak turun ke bawah untuk bertanya hasrat pengundi yang mereka wakili.

“Ini mungkin juga apa yang dimaksudkan dengan demokrasi sudah mati.

“Tapi hakikatnya ialah selama 8 hari kemelut, jentera pentadbiran negara yang diwakili oleh penjawat awam menjalankan tugas mereka tanpa berat sebelah dan penuh dedikasi. Inilah yang dikatakan demokrasi di Malaysia masih hidup,” katanya.