Dewan Rakyat bersidang 18 Mei

Persidangan Dewan Rakyat akan diadakan pada 18 Mei.

PETALING JAYA: Speaker Mohd Ariff Md Yusof berkata persidangan Dewan Rakyat akan bermula pada 18 Mei dan bukannya 9 Mac, menamatkan spekulasi mesyuarat Parlimen akan ditangguhkan sehingga Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dapat memperkuat kedudukannya dengan memastikan majoriti yang selesa di Dewan Rakyat.

Ariff berkata beliau menerima surat makluman berhubung tarikh baru itu malam tadi.

“Tiada persidangan pada 9 Mac (Isnin). Tarikh baharu Istiadat Pembukaan Parlimen ialah 18 Mei 2020,” kata Ariff memetik laporan Berita Harian.

Ariff sebelum ini berkata beliau akan berkomunikasi dengan Muhyiddin sama ada persidangan itu akan diteruskan mengikut jadual atau ditangguhkan berikutan perubahan dalam kerajaan.

Persidangan Dewan Rakyat lepas ditangguhkan pada 5 Dis 2019, sementara sidang kali ini dijadualkan bermula pada 9 Mac ini.

Bagaimanapun, media melaporkan terdapat spekulasi bahawa Muhyiddin Yassin mungkin cuba menangguhkan sidang sehingga beliau dapat mengukuhkan kedudukannya dengan memastikan kerajaan memiliki majoriti selesa di Dewan Rakyat.

Ini selepas Pakatan Harapan (PH) mendakwa mempunyai sokongan 114 ahli Parlimen, iaitu majoriti tipis daripada 222 kerusi dewan.