Didesak parti lepas jawatan, kata Afif Bahardin

Adun Seberang Jaya, Afif Bahardin berkata beliau menerima tawaran daripada pelbagai parti politik sekiranya keahliannya dipecat PKR.

PETALING JAYA: Bekas exco Pulau Pinang, Afif Bahardin, yang dikatakan penyokong bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, mendedahkan beliau didesak partinya, PKR untuk melepaskan jawatan kerajaan negeri.

Dakwaan ini beberapa jam selepas peletakan jawatannya diumumkan Ketua Menteri Chow Kon Yeow petang tadi.

“Saya hargai keputusan beliau untuk mengekalkan kedudukan saya sebagai Adun Seberang Jaya,” katanya pada sidang media di Facebook.

Afif dalam pentadbiran Chow memegang portfolio pertanian dan industri asas tani, pembangunan luar bandar dan kesihatan.

Beliau dikatakan penyokong bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang dikaitkan dengan gerakan dalam membentuk kerajaan baru minggu lalu.

Azmin dan seorang naib presiden, Zuraida Kamaruddin dipecat PKR selepas “pengkhianatan terbuka oleh beberapa watak dalang utama” yang bercanggah dengan pendirian parti dalam perkara berkenaan kedudukan perdana menteri.

Sembilan wakil rakyat PKR meninggalkan PKR tidak lama kemudian.

Mengenai status keahliannya dalam PKR, Afif berkata hal itu masih dalam pertimbangan lembaga disiplin.

Pada 21 Feb lepas, Afif menerima surat tunjuk sebab daripada lembaga disiplin yang mendakwa beliau melakukan aktiviti sabotaj dengan mencetus dan/atau bersekutu untuk menimbulkan rusuhan serta pergolakan pada kongres nasional Pemuda PKR 2019, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh Melaka pada 6 Dis tahun lepas, dengan tujuan untuk membatalkan kongres tersebut.

“Saya sedia terima apa-apa tindakan parti,” katanya, dan menambah beliau menerima tawaran daripada pelbagai parti politik sekiranya keahliannya dipecat PKR.

Mengenai kehadirannya di makan malam di sebuah hotel yang dihadiri Azmin dan kumpulannya, pemimpin PPBM, Umno, dan PAS, Afif berkata kehadirannya tidak lebih daripada pemerhati.

“Saya sudah melaporkan semua gerakan kepada beliau kerana kebimbangan saya ketika itu bagaimana kedudukan kerajaan Pulau Pinang,” katanya.