Isteri Da’i Farhan didakwa menipu wang untuk dapatkan sijil Halal

Noorainul didakwa menipu RM10,050 untuk dapatkan sijil halal dan kelulusan KKM untuk produknya.

Malang tidak berbau. Itulah dapat disimpulkan nasib yang menimpa isteri juara program Da’i musim kedua.

Noorainul Naqim Mohd Radzi, 40, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini, atas tuduhan menipu seorang wanita.

Dia yang juga isteri kepada Nik Ahmad Farhan Nik Muhamad atau lebih dikenali sebagai Da’i Farhan bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret, Wong Chai Sia.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh pada 21 Disember 2017 hingga 26 Februari 2018, bertempat di 9-2-1 Kelompok Nuri B, Taman Keramat, Wangsa Maju mendorong Norsiha Aala untuk serahkan wang RM10,050 untuk Sijil Halal dan pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia bagi produk miliknya.

Tertuduh dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun dengan sebat serta denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 kepada mahkamah.

Peguam bela, Sheik Abdullah Abdul Malik dalam rayuannya memohon mahkamah untuk mengurangkan jaminan memandangkan anak guamnya penanggung tunggal lapan anak berusia lima hingga 19 tahun.

Da’i Farhan juga berada di mahkamah sebagai penjamin.

“Suami tertuduh juga hadir di mahkamah hari ini bagi menjadi penjamin,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Majistret kemudian memerintahkan tertuduh membayar jaminan sebanyak RM4,000 dan menetapkan 3 April ini untuk serahan dokumen.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]