Joshua pernah terima ugutan bunuh, adik ipar beritahu inkuiri

Joshua Hilmy dan Ruth Sitepu berkahwin pada Oktober 2004 dan kali terakhir mereka dilihat 30 Nov 2016.

KUALA LUMPUR: Saksi ke-7 dalam inkuiri awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyiasat kehilangan pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu mendakwa abang iparnya pernah menerima ugutan bunuh daripada pihak tidak dikenali.

Iman Setiawan Sitepu, 39, adik bongsu Ruth berkata, beliau mendapat maklumat itu daripada ayah angkat Joshua di Indonesia yang bernama “Bebas Bangun” pada September 2018 selepas membuat laporan polis di Malaysia pada 28 Feb 2018.

“(Ayah angkat Joshua) Bebas Bangun beritahu saya yang Joshua beritahu terima amaran seperti ‘Pak saya mahu dibunuh’,” katanya pada hari ke-4 inkuiri awam di ibu pejabat Suhakam hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan perkara itu kepada sesiapa, termasuk pihak berkuasa seperti polis di Malaysia dan Indonesia mengenai ugutan bunuh yang diterima Joshua.

Iman berkata, Joshua pernah memberitahu beliau menerima satu lagi ancaman pada 2009.

Katanya, beliau tidak jelas mengenai bentuk ancaman itu dan tidak melaporkan kepada pihak berkuasa kerana merasakan ancaman berkenaan perkara biasa.

Joshua dan Ruth berkahwin pada Oktober 2004 dan kali terakhir mereka dilihat 30 Nov 2016.

Ruth yang merupakan warga Indonesia diwakili peguam Philip Koh. Dua adiknya yang datang dari Indonesia turut menghadiri inkuiri ini sejak hari pertama prosiding pada 18 Feb lalu.

Inkuiri awam ini dipengerusikan Pesuruhjaya Suhakam, Hishamudin Yunus dan dibantu Pesuruhjaya Jerald Joseph serta Madeline Berma. Ia dijangka berlangsung selama 14 hari sehingga 29 April nanti.

Sebelum ini, Suhakam turut mengadakan inkuiri awam berhubung kehilangan pastor Raymond Koh dan aktivis dari Perlis, Amri Che Mat yang merumuskan 2 lelaki itu ialah mangsa kehilangan paksa.