Kabinet Muhyiddin perlu wakili masyarakat majmuk, kata Hadi

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

PETALING JAYA: Kabinet Perikatan Nasional perlu mewakili masyarakat majmuk, kata Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menyahut permintaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meminta pandangan parti Islam terbesar itu berkenaan pembentukan Kabinet baru.

Hadi bagaimanapun menegaskan, PAS menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Muhyiddin untuk membentuk Kabinet dalam masa terdekat, “tanpa sebarang syarat dan permintaan”.

“Saya menyatakan pandangan supaya individu yang dilantik untuk menganggotai Kabinet terdiri daripada kalangan yang berintegriti, berkelayakan, dan berkemahiran, serta mewakili masyarakat majmuk.

“Saya turut menyarankan supaya dilibatkan kalangan profesional untuk membantu kerajaan dalam usaha meningkatkan tahap ekonomi, pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat, serta diwujudkan fungsi hisbah (ombudsmen) dalam pentadbiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PAS bersama PPBM, Barisan Nasional, dan sekumpulan bekas ahli Parlimen PKR bersama membentuk Perikatan Nasional.

Kebuntuan selama seminggu susulan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri ke-7 berakhir pada Ahad apabila Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan perdana menteri, dengan sokongan PAS, PPBM, BN, kumpulan bekas timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, dan GPS.