Lagi menteri Iran dijangkiti Covid-19

Menteri Industri, Perlombongan dan Perdagangan Iran, Reza Rahmani. (Gambar Twitter Iran Gov)

ANKARA: Menteri Industri, Perlombongan dan Perdagangan Iran, Reza Rahmani disahkan positif Covid-19, lapor portal dalam talian Asriran.

Menurut laporan itu, Rahmani sedang dirawat di unit rawatan rapi Hospital Imam Khomeini di Tehran.

Beliau bukan pegawai berpangkat tinggi Iran yang pertama dijangkiti virus itu kerana berpuluh pegawai Iran, termasuk sekurang-kurangnya 23 ahli Parlimen sudah dijangkiti virus itu.

Ia termasuk Naib Presiden untuk Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Masoumeh Ebtekar, Timbalan Menteri Kesihatan, Iraj Harirchi dan ahli Parlimen Mahmoud Sadeghi.

Kes Covid-19 di Iran meningkat sejak sebulan lalu dengan lebih 2,300 orang dijangkiti virus itu setakat ini.

Sementara itu, AFP melaporkan 15 kematian baru hari ini, menjadikan keseluruhan 92 orang meninggal dunia akibat virus itu hari ini.

“Jumlah kes baru yang disahkan sejak 24 jam lalu ialah 586 kes,” kata jurucakap Kementerian Kesihatan Iran, Kianoush Jahanpour pada sidang akhbar yang disiarkan di televisyen.

Ini menjadikan semuanya 2,922 orang disahkan positif Covid-19 setakat ini.